29 Jun 2024, 23:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seoul – Malaysia buat julung-julung kalinya membuka reruai yang dikenali sebagai “Books from Malaysia” di Pesta Buku Antarabangsa Seoul (SIBF) 2024.

Pembukaan reruai ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada para penerbit Malaysia mengetengahkan bahan penerbitan mereka dan menjual lesen hak penerbitan untuk pasaran antarabangsa.

Majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Seoul (SIBF) 2024 di Coex Hall C, Gangnam-gu, Korea Selatan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menghantar wakil untuk menyertai delegasi ke SIBF 2024, iaitu Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Ketua Bahagian Harta Intelek, Puan Norhanifah Mohamed.

Menurut Puan Fauzilahyatun, penyertaan DBP dan penerbit tempatan Malaysia dalam SIBF 2024 ini dapat memberikan ruang kepada penerbit Malaysia untuk memperkenalkan kebudayaan dan ciri istimewa negara dalam pelbagai genre karya kepada pasaran Korea.

“Penyertaan kita dalam acara ini dapat membina dan memperkukuh hubungan antara penerbit Malaysia dengan penerbit antarabangsa.

“Hal ini juga sebagai satu daripada usaha untuk mengantarabangsakan karya Malaysia kepada khalayak antarabangsa,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa (kiri) dan Puan Norhanifah Mohamed ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia di Korea Selatan, YBhg. Dato’ Mohd Zamruni Khalid.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, “Pelibatan Malaysia pada tahun ini merupakan usaha untuk memperkenalkan karya Malaysia secara kolektif pada peringkat antarabangsa.”

Jelas beliau, “Delegasi Malaysia yang turut hadir pada SIBF kali ini terdiri daripada agensi kerajaan, penerbit universiti dan penerbit swasta.”

Perbincangan pihak DBP dengan penerbit dari Korea Selatan dan negara lain.

SIBF 2024 dibuka secara rasmi pada 26 Jun 2024 hingga 30 Jun 2024, bertempat di Coex Hall C, Gangnam-gu, Korea Selatan.

SIBF 2024 dirasmikan oleh Presiden Persatuan Buku Korea, H.E. Yoon Chul Ho dengan tema “Houyhnhnm”.

Sebanyak 36 negara dan 530 pempamer menyertai SIBF 2024 pada kali ini.

Pada tahun ini, Arab Saudi menjadi negara tetamu, manakala Oman dan Norway merupakan negara fokus.

Selain pameran dan jualan, SIBF 2024 juga mengadakan pelbagai aktiviti perbukuan yang lain seperti seminar, bengkel, padanan perniagaan untuk hak cipta dan pelancaran buku.

Kumpulan delegasi Malaysia ke SIBF 2024.

Delegasi Malaysia turut membuat kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Korea Selatan pada 25 Jun 2024.

Duta Besar Malaysia, Dato’ Mohd Zamruni Khalid menyambut baik hasrat delegasi Malaysia untuk mengantarabangsakan karya terbaik penulis Malaysia dan pihak kedutaan bersedia untuk bekerjasama dengan para delegasi pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.