30 Jun 2024, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau Siri Kayuhan Kapsul bersempena dengan Mini Sambutan UiTM 25 Tahun sebagai Sebuah Universiti jelas membuktikan bahawa warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempunyai semangat dan keyakinan yang tinggi dalam menjayakan sesuatu misi demi membawa nama universiti ke tahap yang lebih tinggi dan dikenali oleh masyarakat.

Demikian yang dinyatakan oleh Pengurusan Kanan UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi apabila UiTM Cawangan Perlis dipilih sebagai destinasi ke-9 bagi siri kayuhan kapsul pada kali ini dengan jarak kayuhan sejauh 1,342 kilometer keseluruhan untuk sampai ke UiTM Cawangan Perlis.

Perjalanan ke UiTM Cawangan Perlis ini bermula dari Tasik Banding menuju ke Gerik, dan terus melalui sempadan negeri Kedah, dan seterusnya ke negeri Perlis. Kayuhan bermula sekitar jam 9.00 pagi dan selamat tiba ke kampus Cawangan Perlis sekitar jam 7.30 malam semalam.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin mengetuai pasukan kayuhan kapsul ke UiTM Cawangan Perlis.

Para peserta kayuhan yang diketuai sendiri oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan beliau turut disertai oleh 12 orang pengayuh utama yang terdiri dalam kalangan staf akademik dan pentadbiran, serta empat pengayuh dalam kalangan pelajar pelbagai cawangan.

Ketibaan para peserta kayuhan ini disambut meriah oleh Pengurusan Kanan UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, staf dan lebih 300 orang pelajar dengan sorakan dan kibaran bendera sambil beramai-ramai menyanyikan lagu Gemuruh, nyanyian Faizal Tahir sebagai pembakar semangat buat pasukan kayuhan.

Pasukan kayuhan disambut meriah oleh staf dan pelajar UiTM Cawangan Perlis dengan kibaran bendera dan tepukan gemuruh.

Sebanyak 12 orang warga UiTM akan berkayuh sejauh 2,000 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia yang bertujuan untuk mengumpul surat hasrat di setiap cawangan negeri untuk dipahatkan di monumen yang bakal dibina untuk tatapan umum dan akan dirasmikan pada Malam Kemuncak Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah Universiti pada 24 Ogos nanti.

Hasrat yang dibawa tersebut melambangkan impian dan harapan pengurusan serta seluruh warga UiTM untuk melihat universiti ini terus gemilang pada 25 tahun akan datang.

Kayuhan ini juga dilihat dapat mengangkat matlamat Sustainable Development Goals (SDG) 3, 11, 13 dan 17, yang bertujuan untuk melestarikan alam sekitar.

Kerjasama ini disambut baik oleh pihak Pulau Banding Foundation (PBF) yang turut serta sebagai penganjur bersama program dan pihak i-sport yang telah menaja arch bagi tujuan pelepasan peserta kayuhan selama dua hari di UiTM Cawangan Perlis dan di beberapa buah cawangan lain.

Jamuan makan malam diadakan usai ketibaan para peserta kayuhan dan tamat sekitar jam 9.00 malam.
Peserta Kayuhan Kapsul selamat tiba di UiTM Cawangan Perlis sekitar jam 7.30 malam dengan disambut oleh Pengurusan Kanan dan 300 orang pelajar universiti ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.