1 Julai 2024, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negeri merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya terletak di bahu angkatan tentera sahaja.

Peranan Rejimen Askar Wataniah untuk memelihara kedaulatan dan keamanan negeri dan negara adalah bertepatan dengan prinsip Maqasid al-Syariah. Islam amat menghargai mereka yang berkhidmat serta berjihad untuk mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Pada masa yang sama sebagai rakyat, kita harus sedar, bahawa tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negeri dan negara tercinta ini bukan hanya terletak di bahu angkatan tentera sahaja, ianya adalah tanggungjawab bersama, seharusnya kita saling bekerjasama serta saling bantu-membantu dalam menjaga keamanan, kedaulatan dan keharmonian negara.

Demikian titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika Baginda dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima mengadap Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan di Kangar.

Turut hadir sama ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi Sabri; Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi; Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Briged ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Panglima-Panglima ini berada di Perlis bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) ke-66 Peringkat Kebangsaan yang bermula pada 28 Jun dan berakhir pada 30 Jun 2024 di negeri Perlis.

Tuanku Raja berkenan menerima cenderahati dalam majlis tersebut.

Tuanku Raja turut bertitah menyeru seluruh peringkat Rejimen Askar Wataniah untuk sama-sama berusaha sebaik mungkin bagi meneruskan usaha dan perjuangan dalam mencapai misi dan visi ke arah menjadikan rejimen ini sentiasa cemerlang dan berkredibiliti.

Tuanku Raja pernah memegang tampuk sebagai Komander Rejimen 504 Askar Wataniah selama dua dekad, iaitu dari 1 Januari 1981 hingga 31 Mac 2002 ketika menjadi Raja Muda Perlis dan menyerahkan tanggungjawab tersebut apabila Baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri sebagai Raja Perlis kepada anakanda Baginda, Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada tahun 2002.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.