Diterbitkan pada 1 Julai 2024, 08:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Baru-baru ini, Program End Period Poverty telah berlangsung di Dewan Seminar Fakulti Sains Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi mengangkat kesedaran pendidikan berkaitan dengan wanita, khususnya masalah haid.

Pada 23 Jun 2024, Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia telah membuat penjelajahan ke UPSI bagi memberikan kesedaran tentang masalah kemiskinan haid kepada para pelajar dan berkongsi cara untuk menangani masalah ini daripada terus berlaku sehingga menyebabkan kemiskinan dalam pendidikan terutamanya bagi golongan wanita.

Menurut Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, program ini memberikan kesedaran kepada pelajar yang terlibat tentang kemiskinan haid yang dialami oleh pelajar perempuan di sekolah luar bandar dan juga pendalaman.

Katanya,

Masalah ini memberikan impak besar terhadap kehidupan pelajar perempuan, terutamanya dalam konteks pendidikan.

Hal ini dikatakan demikian kerana kemiskinan haid jelas menjadi punca kepada mereka tidak hadir ke sekolah.

Menerusi program ini, pelajar UPSI bukan sahaja diberikan kesedaran tentang kemiskinan haid, tetapi juga diberi peluang untuk membuat tuala wanita guna semula bagi menangani isu ini.

Pelajar UPSI diberi peluang untuk menjahit tuala wanita guna semula.

Tuala wanita guna semula lebih menjimatkan dan mampu menampung pembelian tuala wanita bagi pelajar yang tidak berkemampuan untuk membelinya kerana kos untuk membuatnya lebih murah dan boleh digunakan anggaran dua tahun.

Langkah proaktif boleh dilakukan bagi membasmi masalah kemiskinan haid ini di sekolah, menurut Puan Napsiah Khamis Maharan dalam ucapannya.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu berusaha untuk menghapuskan kemiskinan haid di sekolah terutamanya dalam kalangan pelajar yang tidak mampu untuk menyediakan tuala wanita dengan cara mengadakan Hari Donation Pad di sekolah, yakni pelajar diberi tuala wanita secara percuma hasil sumbangan dan meletakkannya di tandas sekolah sebagai persediaan kepada pelajar wanita.

Program sebegini diharapkan dapat terus dijalankan sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan pendidikan dalam kalangan pelajar perempuan. Semoga langkah ini dapat membantu pelajar perempuan mengatasi kemiskinan haid dan memberikan mereka peluang yang sama rata dalam pendidikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi