Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Penguasaan bahasa yang baik perlu disertai dengan kemahiran komunikasi yang berkesan bagi memastikan mesej dapat disampaikan secara jelas, tepat dan meyakinkan.
Hakikat tersebut menjadi inti pati penting dalam perkongsian oleh tiga orang penceramah berkaliber di Estavromenos Campus, Hellenic Mediterranean University (HMU) yang menghimpunkan para peserta daripada pelbagai latar belakang akademik dalam bengkel komunikasi tersebut.
Pegawai Projek Kanan di Institutional Project Management Office (Oficina de Gestión de Proyectos Institucionales, OGPI), Universidad de Alicante, Sepanyol, Cristina Beans, menegaskan bahawa komunikasi yang berkesan bermula dengan keyakinan diri.
Menurut beliau, seseorang perlu mempunyai kemahiran memperkenalkan kepakaran dan idea mereka secara padat menggunakan teknik pengenalan ringkas (elevator pitch), iaitu pengenalan atau pembentangan ringkas dalam tempoh 30 hingga 60 saat tanpa mengabaikan aspek bahasa yang sopan dan tersusun.
“Ramai mempunyai idea yang baik, tetapi gagal menyampaikannya dengan yakin.”
“Seseorang itu boleh mempraktikkan teknik pengenalan ringkas (elevator pitch), iaitu bukan sekadar memperkenalkan diri dalam tempoh yang singkat, sebaliknya membina tanggapan pertama yang positif melalui pemilihan kata, intonasi dan penyampaian yang bertenaga,” ujar beliau.
Tambah beliau, semangat dan keyakinan ketika bertutur mampu meningkatkan kepercayaan khalayak terhadap mesej yang disampaikan.
Sementara itu, Assistant Professor yang juga merupakan Director of the Office of International Cooperation and Networking dari Xavier University, Filipina, Dr. Shiella Balbutin, mengupas topik komunikasi daripada sudut teknikal dengan menekankan bahawa proses penyampaian mesej tidak hanya bergantung pada pertuturan sahaja.

Menurut beliau, komunikasi berkesan turut dipengaruhi oleh bahasa tubuh, nada suara, ekspresi wajah serta keadaan persekitaran.
“Diam juga adalah satu bentuk komunikasi yang mempunyai makna tersendiri. Dalam keadaan tertentu, diam mampu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan daripada kata-kata,” ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan para peserta agar mengelakkan bunyi atau gangguan komunikasi, sama ada berbentuk fizikal, psikologi mahupun semantik kerana gangguan tersebut boleh menyebabkan mesej disalah tafsir atau gagal difahami oleh penerima.
Seterusnya, YBrs. Profesor Dr. Huda Ibrahim dari Pusat Pengajian Pengkomputeraan, Universiti Utara Malaysia (UUM) pula menekankan bahawa komunikasi visual menjadi pelengkap kepada komunikasi lisan.
Menurut beliau, slaid pembentangan bukan sekadar bahan paparan, malah berfungsi sebagai medium komunikasi yang membantu audiens untuk memahami isi penyampaian secara lebih sistematik.
“Slaid yang dipenuhi teks hanya mengalih perhatian audiens. Gunakan kata kunci, visual dan susun atur yang jelas supaya slaid dapat memperkukuh penyampaian, bukannya menggantikan peranan penyampai,” jelas beliau.
Program perkongsian diakhiri dengan sesi pembentangan oleh para peserta, sekali gus dapat membantu mereka bertukar-tukar komen atau idea bernas dalam mempraktikkan komunikasi profesional yang disampaikan oleh ketiga-tiga orang penceramah.

Secara keseluruhannya, ketiga-tiga perkongsian tersebut memperlihatkan bahawa komunikasi yang berkesan lahir daripada gabungan penguasaan bahasa, keyakinan diri, teknik penyampaian yang tepat serta penggunaan bahan visual yang berkualiti.
Dalam dunia yang semakin kompetitif, kemahiran berbahasa dan berkomunikasi bukan lagi sekadar nilai tambah, sebaliknya menjadi kompetensi asas yang perlu dikuasai oleh setiap individu bagi membina kredibiliti diri serta memperkukuh penyampaian ilmu dan maklumat.