Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJelebu – Pagi yang biasanya tenang di Jelebu bertukar meriah apabila sebilangan warga emas mula memenuhi kedai-kedai kecil dan gerai penjualan surat khabar seawal matahari terbit. Ada yang bertongkat dan ada yang ditemani anak-anak, namun semuanya berkongsi tujuan yang sama, iaitu mendapatkan naskhah surat khabar untuk mengikuti perkembangan terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Pada hari-hari biasa, gerai surat khabar tidak pernah dikunjungi seramai itu. Namun begitu, suasana berbeza pada pagi itu apabila surat khabar habis dijual lebih awal daripada kebiasaan, mencerminkan minat tinggi orang ramai terhadap perkembangan terkini, khususnya senarai calon yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan Ke-16.

Sebanyak 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan. Pertandingan itu membabitkan calon daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Perikatan Nasional (PN), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Asli dan calon Bebas. Sebanyak 21 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun 2026 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus membuka laluan kepada PRN Negeri Sembilan Ke-16.

Eksekutif swasta, Encik Hashim Aljolou, 51 tahun, dari Jelebu, menyifatkan suasana tersebut sebagai sesuatu yang mengujakan.
“Orang ramai, khususnya golongan warga emas, berpusu-pusu mendapatkan surat khabar seawal pagi untuk mengikuti perkembangan terkini berkaitan dengan PRN. Walaupun era digital semakin berkembang, namun surat khabar bercetak masih menjadi pilihan utama, terutamanya dalam kalangan golongan veteran dan warga emas kerana lebih mudah dibaca, dipercayai dan menjadi sebahagian daripada rutin harian,” katanya.
Di kedai kopi, kelihatan warga emas duduk berkelompok sambil meneliti helaian berita dan berbincang sesama sendiri. Ada yang membaca dengan penuh teliti, manakala yang lain berkongsi pandangan dengan suara lantang. Dalam suasana itu, surat khabar bukan sekadar menjadi sumber maklumat, malah berperanan sebagai pengikat sosial yang menghubungkan mereka dengan komuniti serta membuka ruang untuk membincangkan masa hadapan negeri.
Fenomena tersebut seakan-akan mengimbau kembali era kegemilangan media cetak sebelum tahun 2000, ketika surat khabar menjadi sumber utama berita harian. Walaupun generasi muda kini lebih cenderung mendapatkan maklumat dalam talian, namun warga emas masih setia dengan naskhah bercetak. Bagi mereka, surat khabar bukan sekadar medium penyampaian berita, namun sebahagian daripada rutin dan kehidupan seharian.
Pada hari itu, Jelebu menyaksikan bagaimana perkembangan politik mampu menghidupkan semula minat masyarakat terhadap pembacaan surat khabar, walaupun mungkin hanya untuk sementara. Fenomena tersebut bukan sekadar berkaitan dengan pilihan raya, tetapi turut memperlihatkan unsur nostalgia, kebersamaan dan kepercayaan terhadap media cetak yang masih berperanan menghubungkan masyarakat.