Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini mengeluarkan sebanyak 13,263 kertas undi pos kepada pengundi yang layak bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-16.
Menurut kenyataan Setiausaha SPR, YBhg. Datuk Khairul Shahril Idrus, hari ini, pengeluaran kertas undi pos itu dibuat kepada individu yang layak mengundi secara pos sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12,669 kertas undi pos dikeluarkan kepada petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media yang memohon di bawah Kategori 1A.
Sementara itu, sebanyak 343 kertas undi pos dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang menetap di luar negara di bawah Kategori 1B, manakala sebanyak 251 kertas undi pos diberikan kepada pegawai daripada 11 agensi dalam Sektor Keselamatan dan Kesihatan di bawah Kategori 1C.
SPR memaklumkan bahawa proses pengeluaran kertas undi pos tersebut dilaksanakan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti politik atau individu yang bertanding bagi memastikan ketelusan proses pilihan raya.
Sehubungan dengan itu, SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan undi pada kertas undi, mengisi Borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan tepat serta mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN masing-masing sebelum pukul 5.00 petang pada Hari Mengundi, 1 Ogos 2026.
Pada masa yang sama, SPR turut mengingatkan pengundi agar menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau menyebarkannya dalam media sosial.