Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan rasa kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab ribuan penyokong bola sepak yang meninggalkan timbunan sampah di Dataran Merdeka selepas tamat tayangan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Keterujaan orang ramai yang berhimpun bagi menyaksikan pertembungan antara Sepanyol dengan Argentina itu dicemari dengan pemandangan yang menyedihkan apabila padang bersejarah berkenaan ditinggalkan dalam keadaan yang kotor.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, DBKL menegaskan bahawa walaupun petugas pembersihan akan mengutip sisa buangan tersebut, namun penjagaan kebersihan ibu kota tidak seharusnya bergantung sepenuhnya pada pihak berkuasa tempatan.
“Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara, justeru cara kita meninggalkannya mencerminkan sejauh mana kita menghargainya,” tegur DBKL dalam kenyataan tersebut.
Pihak berkuasa tempatan itu menjelaskan bahawa orang ramai berhak untuk meraikan acara sukan tersebut dengan meriah serta bersorak sepuas hati, namun perkara itu bukanlah tiket untuk mereka bebas mengotorkan ruang milik awam secara sesuka hati.
“Kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang, tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang,” jelas DBKL lagi.
Menyedari kepentingan menjaga imej dan persekitaran bandar raya, DBKL mengakhiri hantaran tersebut dengan menyeru seluruh warga ibu kota untuk menganggap Kuala Lumpur sebagai rumah sendiri dan menjaganya dengan penuh rasa tanggungjawab.