Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kesemua baki empat orang anak kapal warganegara Malaysia yang terkandas di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober 2025 telah selamat tiba di tanah air, hari ini.
MV Berkat Tuah ialah sebuah kapal Sokongan Luar Pantai (Offshore Support Vessel) berbendera Malaysia yang dibina pada tahun 2013 pernah menjadi tumpuan dalam isu yang dibangkitkan sebelum ini.
Berdasarkan siaran akhbar oleh Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa mereka yang berada di atas kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriyah, wilayah Sharjah, telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.00 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, kepulangan mereka adalah hasil libat urus berterusan antara Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dan Jabatan Laut Malaysia dengan pihak berkuasa Sharjah.
Keempat-empat anak kapal tersebut telah dibenarkan turun daripada kapal pada 18 Julai 2026 selepas rundingan dijalankan dengan pihak berkuasa tempatan.
Sebelum ini, sebanyak empat lagi anak kapal warganegara Malaysia yang berada di kapal sama telah selamat pulang ke tanah air pada 10 April lalu.
Sepanjang tempoh terkandas, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai turut melaksanakan beberapa lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.
Pada masa yang sama, usaha rundingan dengan pihak berkuasa Sharjah serta penyelarasan bersama-sama dengan Jabatan Laut Malaysia dan pemegang taruh berkaitan turut dipergiat bagi mempercepat proses kepulangan mereka.
Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan urusan kepulangan anak kapal tersebut berjalan dengan lancar.
Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa komitmen berterusan melalui perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.