Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 24 Mei 2025, 22:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kunjungan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam ke reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 menarik perhatian khalayak pada hari ini.

Dalam kunjungan tersebut, beliau meluangkan masa meninjau pelbagai buku terbitan DBP, termasuklah buku yang berkaitan dengan bidang sejarah, warisan budaya dan kesusasteraan Melayu.

Selain itu, beliau turut membeli beberapa buah buku yang menarik perhatian beliau seperti RAMD Membenam Asakan Komunis, Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah, Biografi Politik: Tunku Abdul Rahman Putra, Detik dan Peristiwa Bersejarah dalam Politik Antarabangsa Abad Ke-20 dan Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, kehadiran beliau disantuni oleh Ketua Editor Bahagian Majalah yang mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Pegawai Tadbir, Bahagian Pemasaran dan Pengedaran, Puan Fairuz Yaacob.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam (kiri) bersama-sama dengan Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar (tengah) dan Pegawai Tadbir, Bahagian Pemasaran dan Pengedaran, YBrs. Puan Fairuz Yaacob (kanan).

Kunjungan beliau ke reruai DBP pada kali ini bukan sahaja menyerikan suasana, malah membuktikan sokongan beliau terhadap usaha memartabatkan budaya ilmu dan memperkukuh minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Reruai DBP pada tahun ini menampilkan lebih 2,000 judul dan 100,000 naskhah buku meliputi pelbagai bidang, termasuklah karya penulis tempatan terkenal dan penerbitan baharu.

Malah, pelbagai aktiviti turut dianjurkan sepanjang pembukaan reruai tersebut berlangsung seperti sesi bual bicara penulis, pelancaran buku dan aktiviti interaktif untuk pengunjung.

Sementara itu, PBAKL 2025 yang berlangsung selama 10 hari bermula 23 Mei sehingga 1 Jun menampilkan 1,172 buah reruai dengan penyertaan 258 pempamer tempatan mahupun antarabangsa yang terdiri daripada 21 buah negara seperti Iran, United Kingdom serta beberapa buah negara Asia dan Timur Tengah.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi