Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kundasang – Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 merupakan menjadi antara pengisian utama dalam Kursus Kenegaraan Penulisan Naratif Madani (PENA MADANI) Kementerian Pendidikan Tahun 2026 bagi Zon Sabah dan Zon Labuan yang berlangsung dari 9 hingga 11 Jun 2026 di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, Sabah.

Kursus yang melibatkan 100 orang pendidik dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu dianjurkan oleh Komuniti Pendidik MADANI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM),Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia dan Bahagian Profesionalisme Guru (BPG).

Sesi berkaitan RPM 2026–2035 disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, YBrs. Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim. Dalam taklimat tersebut, beliau menjelaskan hala tuju pendidikan negara melalui RPM 2026–2035 yang merupakan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.

Menurut beliau, RPM 2026–2035 merupakan usaha kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan di Malaysia terus relevan, berdaya saing dan responsif terhadap keperluan semasa serta masa hadapan.

“Matlamat RPM 2026–2035 adalah untuk melahirkan insan sejahtera yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kefahaman guru terhadap aspirasi pendidikan negara amat penting kerana guru bukan sahaja berperanan sebagai pelaksana dasar di sekolah, malah sebagai penyampai naratif pendidikan kepada masyarakat.

Sejajar dengan hasrat PENA MADANI, peserta kursus diharapkan dapat memanfaatkan ilmu berkaitan RPM 2026–2035 dalam menghasilkan penulisan yang lebih jelas, tepat dan bermakna, khususnya melalui media sosial dan platform komunikasi pendidikan.

Pengisian tersebut turut memberikan ruang kepada peserta untuk memahami bagaimana dasar pendidikan negara boleh diterjemahkan dalam bentuk penulisan naratif yang dekat dengan realiti sekolah, guru, murid dan masyarakat.

Melalui pendedahan ini, RPM 2026–2035 bukan sahaja dilihat sebagai dokumen hala tuju pendidikan, malah sebagai asas penting dalam membina kefahaman awam terhadap usaha kerajaan memperkukuh sistem pendidikan negara berteraskan nilai, ilmu dan pembinaan generasi masa depan.

YBrs. Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim menyampaikan taklimat berkaitan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 kepada peserta Kursus PENA MADANI di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, Sabah.
Kredit Foto: Dr. Betty D. Primus
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi