Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Siri Kembara MADANI Bahasa dan Sastera bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan ke bandar raya Kuching hari ini dengan pengisian pelbagai aktiviti yang memfokuskan kepada pembudayaan bahasa kebangsaan.

Pengisian siri Kembara di Kuching dimeriahkan dengan penganjuran Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) dan Bengkel MDK untuk Guru.

Peserta MDK Dewan Pelajar juga tidak ketinggalan untuk membaca dan membelek majalah Dewan Pelajar terbitan DBP ketika sesi MDK di SK Matang Jaya.

Sesi MDK pada kali ini berjaya menghimpunkan sebanyak 96 orang murid sekolah rendah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Jaya dan SK Emperoh Jambu, serta 65 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg.

Program kelolaan Bahagian Majalah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, DBP Cawangan Sarawak dan Akademi DBP ini turut mengutamakan peranan pendidik menerusi sesi Bengkel MDK untuk Guru.

Pelajar MDK Dewan Siswa ketika membentangkan puisi ciptaan kumpulan masing-masing menggunakan rumus lima baris puisi di SMK Tun Abang Haji Openg.

Sebanyak 44 orang guru dari 21 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah di sekitar Kuching telah menyertai bengkel tersebut bagi memperkasakan kemahiran penggunaan majalah terbitan DBP sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang berkesan di dalam kelas.

Barisan guru sekitar Kuching yang menyertai MDK Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab hari ini.

Menerusi kelangsungan kembara pada kali ini, inisiatif pemasangan papan tanda pantun turut dilaksanakan di dua buah sekolah terpilih, iaitu di SMK Tun Abang Haji Openg dan SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab.

Pemasangan papan tanda pantun tersebut dipasang sebagai wadah untuk mendekatkan warga sekolah dengan warisan sastera, sekali gus memperkenalkan dan membudayakan semula keindahan pantun tradisional dalam persekitaran pembelajaran.

Simbolik pemasangan papan tanda pantun disempurnakan oleh Ybhg. Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari di SMK Tun Abang Haji Openg.

Pemasangan papan tanda pantun ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari dan Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, YBrs. Dr. Majelan Sulong.

Selain itu, penghayatan sastera dan bakat pelajar turut diuji melalui penganjuran  Pertandingan Bercerita (Kategori Pelajar Tahap II) yang dikendaliķan oleh Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PSKR).

Peserta pertandingan bercerita memperagakan pakaian tradisi Sarawak.

Pertandingan yang melibatkan sebanyak 18 orang peserta dari 10 buah sekolah di sekitar kawasan Kuching itu menyaksikan kehebatan wakil peserta dari SK Matang Jaya, adik Zara Qisyaman yang berjaya dinobatkan sebagai johan.

Johan Pertandingan Bercerita (Kategori Pelajar Tahap II), adik Zara Qisyaman yang membawa watak sebagai Cikgu Siti dalam sketsa cerita beliau.

Bagi memperluas ekspresi bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat setempat, kembara ini turut disokong dengan penganjuran beberapa program lain yang padat dengan perkongsian ilmu.

Antaranya termasuklah penganjuran Wacana Sasterawan Negeri Sarawak, Pertandingan Eksplorasi Digital Bahasa Pelbagai Kaum, Ceramah Kerjaya bersama-sama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), serta Sahabat Kata anjuran Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP.

Pelepasan Eksplorasi Bahasa Digital MADANI oleh Ybrs. Puan Aninah Janang, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Ybrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Ybrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tun Abang Haji Openg, Ybrs. Encik Jamli Bujang; Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, Ybrs. Puan Aninah Janang; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Ybrs. Puan Roziah Md Yunus; dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Ybrs. Puan Norhasmanalinda Mustapa.

Program ini membuktikan komitmen DBP bagi memastikan akses bahan bacaan bermutu dan pembudayaan ilmu terus disemai subur dalam pelbagai lapisan komuniti di bumi Kenyalang.

 

Kredit Foto: Norfazrie Isquandy, Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi