Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Kokurikulum Askar Wataniah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Padang Boulevard, Kampus Alam UniMAP.
Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah diiringi Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta puteri baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Leftenan Kolonel Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan Perbarisan Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 1/2026 yang melibatkan 82 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen 504 Askar Wataniah. Perbarisan itu diketuai oleh Perajurit Muda Wan Mohd Ashraff Hakimi Wan Mohd Tarmizi.
Dalam perkembangan sama, puteri kedua Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, turut menyertai dan berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia tersebut.

UniMAP dan Rejimen 504 Askar Wataniah terus memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha memperkasakan pasukan simpanan negara, serta menyokong agenda pertahanan nasional.
Menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, UniMAP komited menyokong pembangunan Askar Wataniah di samping memupuk semangat patriotisme, kepimpinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Pelancaran Program Kokurikulum Askar Wataniah bagi pelajar diploma UniMAP menjadi satu lagi pencapaian penting hasil kerjasama strategik antara kedua-dua institusi tersebut.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dan Rejimen 504 Askar Wataniah dalam melahirkan graduan yang berdisiplin, berjiwa patriotik, serta memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi, selain bersedia memikul tanggungjawab sebagai warganegara yang peka terhadap aspek keselamatan dan pertahanan negara.
Program kokurikulum berkenaan turut menyediakan platform kepada mahasiswa untuk memperoleh pendedahan awal berkaitan dengan latihan ketenteraan, kepimpinan, disiplin dan kerja berpasukan, sekali gus membuka peluang kepada mereka menyertai Askar Wataniah sebagai anggota sukarela pada masa hadapan.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Program Kokurikulum Askar Wataniah UniMAP sebagai simbolik permulaan kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan tinggi dengan pasukan simpanan negara dalam membentuk generasi muda yang berdaya tahan, bersemangat patriotik dan bersedia menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Yang turut hadir ialah Asisten Ketua Staf Bahagian Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.