Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuching – Usaha menyemarakkan ekosistem pembukuan dan persuratan negara terus diperhebat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi penganjuran Program Taklimat Perdana Penerbitan DBP bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP, bertempat di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar, Wisma Persekutuan Sarawak, hari ini.
Program yang menghimpunkan para penulis, pendidik dan penggiat industri itu bermatlamat untuk memberikan pendedahan komprehensif mengenai peluang penulisan, geran penerbitan serta hala tuju pendigitalan karya yang sedang dipacu oleh DBP.

Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar dalam pembentangannya menjelaskan bahawa Jabatan Penerbitan kini digerakkan secara strategik oleh sembilan bahagian utama bagi memastikan kelangsungan pengeluaran bahan bacaan negara sentiasa relevan dengan peredaran zaman.
“Penerbitan buku sama ada dalam bentuk bercetak ataupun digital, termasuklah buku audio, telah kami usahakan untuk diterbitkan bagi memenuhi keperluan pembaca, sekali gus membantu memperkenalkan penerbitan DBP pada peringkat antarabangsa,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, warga pendidik seperti guru dan pensyarah amat digalakkan untuk terus menyumbang kepakaran mereka, terutamanya dalam penghasilan manuskrip buku teks seperti bahasa Iban.
Beliau turut menggariskan peranan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan dan Jabatan Penerbitan dalam memperkasakan bahasa Melayu.
Sementara itu, Ketua Editor Bahagian Buku Umum, YM Tengku Fauziah Ku Mat memperincikan panduan penulisan bagi pelbagai kategori buku serta mengingatkan penulis agar mengelakkan elemen sensitif seperti isu 3R (raja, kaum dan agama) dan plagiat.

Dalam memperkasakan industri pembukuan tempatan, taklimat tersebut turut menyentuh peranan Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIPN) yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Sylee Riza Arif.
Menurut beliau, PIPN merupakan inisiatif pendanaan khusus yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk membantu penulis, penerbit bumiputera atau persatuan penulis menerbitkan buku karya asli atau terjemahan berbahasa Melayu.
“Pembiayaan yang disediakan merangkumi sebanyak 12 kategori dengan peruntukan antara RM 6,500 hingga RM 30,000 mengikut kategori buku, dengan buku ilmiah menerima peruntukan tertinggi.
“Dana ini juga boleh dimanfaatkan untuk program pembangunan sumber manusia seperti penganjuran seminar atau kursus yang berkaitan dengan penerbitan,” tambah beliau lagi.
Melengkapkan naratif pemodenan persuratan, taklimat itu diteruskan dengan perkongsian mengenai penerbitan digital yang disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, YBrs. Puan Naimah Yusof.
Beliau menegaskan bahawa landskap penghasilan kandungan masa kini tidak lagi terhad kepada pembacaan konvensional semata-mata.

“Kita sebenarnya tidak boleh menidakkan impak penerbitan digital terhadap kebolehpasaran sesebuah karya,” tegasnya merujuk kepada transformasi digital DBP.
Pada era baharu ini, beliau menekankan bahawa karya perlu dilihat, didengar, dimainkan dan dikongsikan kepada khalayak umum menerusi pelbagai format seperti buku audio, e-buku interaktif, animasi pendidikan dan aplikasi gamifikasi.
“Penulis akan menerima dua bentuk royalti sekiranya karya mereka diterbitkan dalam bentuk fizikal dan digital, dengan menjadikan usaha ini satu jaminan dalam melindungi kepentingan dan manfaat para karyawan,” tambah beliau.

Menyerikan lagi majlis tersebut, acara kemuncak turut diwarnai dengan pelancaran buku berjudul Agenda Pemikiran Hazami Jahari, iaitu naskhah penulisan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), YB Datuk Abdullah Haji Saidol, sekali gus melabuhkan tirai program dengan jayanya.