Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 21:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cheras – Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 Negeri Selangor pada kali ini dilihat sebagai pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah sepanjang proses tersebut diadakan. Hal ini demikian kerana kedua-dua gabungan politik, iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersaing hebat untuk menguasai Selangor yang diibaratkan sebagai negeri “lubuk ekonomi”.

Salah satu faktor penting penentu kemenangan dalam pilihan raya kali ini ialah kuasa undi generasi muda. Maka itu, tidak hairanlah apabila diperhatikan bahawa kedua-dua parti gabungan tersebut bersaing habis-habisan untuk mendekati generasi muda ini dengan pelbagai pendekatan dan tawaran.

Bilangan pengundi muda berumur antara 18 tahun hingga 20 tahun di Selangor adalah sebanyak 274 194 orang yang merupakan jumlah pengundi yang paling ramai berbanding dengan negeri lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kumpulan pengundi muda bagi had umur itu di Kedah merupakan kumpulan kedua tertinggi, iaitu 104 284 orang, diikuti dengan Kelantan sebanyak 96 513 orang, Pulau Pinang dengan jumlah 67 633 orang, Terengganu pada tangga seterusnya berjumlah 64 264 orang, manakala Negeri Sembilan dengan jumlah pengundi muda 55 017 orang.

Selangor juga merupakan negeri yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar tertinggi iaitu 3 747 057 orang.

Sementara itu, daftar pemilih sama menunjukkan pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun menjadi kumpulan paling ramai di keenam-enam negeri berkenaan dengan jumlah 2 169 120 orang pengundi, diikuti oleh pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun (2 163 982 orang).

Pasukan JendelaDBP membuat tinjauan dan menemu bual responden dalam kalangan pengundi muda di sekitar Cheras dan Hulu Langat untuk menyelami harapan mereka terhadap kerajaan negeri baharu yang bakal memerintah Selangor selepas PRN esok.

Zunnurain Zulkifli, 27 tahun, salah seorang pengundi muda ketika ditemu bual oleh pasukan JendelaDBP mengatakan bahawa beliau berharap agar pihak kerajaan dapat mengawal harga barang mentah dan kos sara hidup yang kian meningkat. Katanya,

Mana-mana parti yang menang pun bertanggungjawab untuk menjaga harga barang makanan (harga barang mentah). Itulah yang paling penting sebab harga makanan sekarang melampau sangat kenaikannya dan memberikan kesan kepada semua orang dari segi kos sara hidup terutamanya kepada kami sebagai peniaga.

Zunnurain Zulkifli dan suaminya ketika ditemu bual di Taman Suntex, Batu 9, Cheras.

Seorang lagi pengundi muda, Haziq Hirzi, 18 tahun, penuntut di sebuah IPT berkata,

Kerajaan baharu ini harus kurangkan berpolitik dan lebihkan bekerja bagi menjaga kebajikan dan perlu prihatin kepada rakyat.

Sementara itu, Pavithra, 23 tahun, ketika ditemu bual di Hulu Langat turut berpendapat bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas PRN esok perlu bekerja menjaga kebajikan rakyat.

Pavithra yang akan mengundi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua berkata,

Kerajaan perlu terus memberikan bantuan yang sedia ada kepada rakyat dan juga bantuan-bantuan lain yang sesuai.

Menjelang hari pembuangan undi esok, kedua-dua parti gabungan yang bertanding, iaitu PH-BN dan PN dilihat menggunakan tempoh berkempen pada saat-saat terakhir untuk meraih dan merayu undi dengan lebih agresif terutamanya daripada generasi muda sama ada melalui media sosial atau secara bersemuka di tempat-tempat awam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi