Diterbitkan pada 25 Jun 2026, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2026 kepada 14 orang penerima cemerlang dalam satu majlis penganugerahan berprestij yang berlangsung di Istana Negara, semalam.

Daripada jumlah keseluruhan penerima tersebut, pengurniaan biasiswa tertinggi di bawah kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dibahagikan kepada tujuh orang penerima peringkat Doktor Falsafah (Doctor of Philosophy – PhD) dan tujuh orang penerima lagi peringkat Sarjana (Penyelidikan).

Sebanyak empat orang penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di luar negara, manakala 10 orang penerima lagi memilih untuk meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Biasiswa BYDPA Tahun 2026 kepada seorang pelajar cemerlang di Istana Negara.

Penajaan BYDPA pada tahun ini memfokuskan bidang-bidang strategik dan kritikal negara seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Science, Technology, Engineering, and Mathematics STEM), Ekonomi, Undang-undang, Kewangan Islam serta Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI).

Tumpuan terhadap bidang-bidang berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak kerajaan untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam sektor berimpak tinggi yang bakal menjadi pemacu kemajuan negara pada masa hadapan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz berkata, JPA akan terus memperkukuh pembangunan bakat berprestasi tinggi melalui pelaksanaan program penajaan yang responsif terhadap keperluan strategik negara serta kelestarian sektor awam.

“Pelaburan berterusan dalam pembangunan modal insan melalui penajaan pendidikan merupakan antara usaha penting untuk memastikan Malaysia memiliki kepakaran bertaraf global dalam bidang-bidang strategik yang menyokong agenda pembangunan negara, peningkatan produktiviti serta daya saing pada peringkat antarabangsa,” jelas beliau.

Sebagai rekod, BYDPA atau King’s Scholarship yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 menyasarkan warganegara Malaysia yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum, kemasyarakatan serta penghasilan karya yang berunsurkan kreativiti dan inovasi.

Sejak pelaksanaannya, sebanyak 239 orang warganegara Malaysia telah merangkul penajaan berprestij ini, yang melibatkan 124 orang penerima pada peringkat PhD dan 115 orang penerima pada peringkat Sarjana.

Dalam pada itu, JPA turut merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda menyempurnakan majlis penganugerahan tersebut, di samping merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima, serta berharap agar peluang keemasan itu dimanfaatkan sepenuhnya demi menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang kepakaran masing-masing.

Kredit Foto: JPA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi