Diterbitkan pada 23 Jun 2026, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching Buku Agenda Pemikiran Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP yang menghimpunkan pemikiran, gagasan dan aspirasi kepimpinan beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), YB Datuk Abdullah Haji Saidol dalam Majlis Penutupan Taklimat Perdana Penerbitan dan Pelancaran Buku di Auditorium Wisma Persekutuan Sarawak, hari ini.

Karya tersebut menghimpunkan sebanyak 70 teks ucapan terpilih Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari yang disusun mengikut bidang bahasa, sastera dan penerbitan, selain memuatkan empat kertas ucaptama yang menggambarkan pemikiran serta pendekatan beliau dalam menerajui DBP.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), YB Datuk Abdullah Haji Saidol ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penutupan Taklimat Perdana Penerbitan dan Pelancaran Buku.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Abdullah menyifatkan buku tersebut sebagai dokumentasi penting yang merakamkan gagasan dan wawasan kepimpinan sesebuah organisasi untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Secara peribadi, saya merasakan bahawa setiap teks ucapan perlu dibukukan dan didokumentasikan untuk dijadikan bahan rujukan pada masa hadapan.

“Usaha penerbitan seperti ini amat munasabah sebagai pemuliharaan gagasan yang disampaikan oleh pemimpin melalui teks ucapan mereka,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar DBP menghimpunkan teks ucapan pemimpin negara dan negeri bagi membolehkan masyarakat meneliti wawasan, idea baharu dan pendekatan kepimpinan yang pernah digagaskan dalam usaha membawa negara ke arah kemajuan.

Sementara itu, YBhg. Datuk Dr. Hazami menjelaskan antara agenda utama yang digerakkan sepanjang tempoh kepimpinannya termasuklah memperkukuh tadbir urus organisasi, memperluas keterlihatan DBP dalam masyarakat dan memastikan institusi itu terus relevan dengan perubahan semasa.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari ketika berucap dalam Majlis Penutupan Taklimat Perdana Penerbitan dan Majlis Pelancaran Buku.

Beliau turut menjelaskan strategi DBP untuk keluar daripada ruang kebiasaan dan mendekati masyarakat secara lebih meluas agar peranannya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

“DBP perlu keluar daripada kepompong kebiasaan. Bermula pada tahun 2024, DBP menyambut ulang tahun DBP di Pulau Pinang dan pada tahun 2025 DBP menyambutnya di Sabah untuk mendekati masyarakat di sana.

“Pada tahun ini, DBP memulakannya di Daro, seterusnya ke tempat kelahiran saya, Gedong dan berakhir di Kuching,” jelasnya.

DBP menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-70 semalam di Hotel Pullman, Kuching dan dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar bersama-sama Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi.

Kredit Foto: Nur Shamiera Zahid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi