Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menggesa pihak industri dan majikan tempatan untuk sentiasa mematuhi standard perburuhan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan implikasi besar terhadap ekonomi negara serta rangkaian bekalan negara.

Perkara itu dibincangkan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Pekerja Bukan Warganegara (BBW), Puan Noraini Nordin menerusi Seminar yang bertajuk “Perlindungan Hak-Hak Asasi Pekerjaan oleh JKTMSM dalam Mencegah Eksploitasi Pekerja” yang berlangsung di Dewan Muttaqam, Maju Junction Mall, hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Pekerja Bukan Warganegara (BBW), Puan Noraini Nordin, eksploitasi ialah sebagai layanan yang tidak adil dan tidak bermaruah kepada pekerja, di samping merangkumi hak untuk dibayar upah, hak bekerja mengikut tempoh waktu undang-undang dan hak mendapat tempat tinggal kondusif.

“Pertama, hak di bawah pembayaran gaji. Mengikut Seksyen 18 Akta Kerja, bayaran gaji hendaklah dibuat dalam tempoh sebulan, manakala Seksyen 19 menetapkan gaji mestilah dibayar selewat-lewatnya pada hari ketujuh selepas hari terakhir tempoh upah.

“Kelewatan pembayaran disifatkan sebagai manipulasi dan eksploitasi, terutamanya terhadap golongan rentan seperti pekerja asing yang tidak memahami undang-undang negara,’ jelasnya.

Beliau turut menjelaskan beberapa isu seperti ketidakadilan dalam pengiraan upah pekerja dan mendedahkan taktik majikan memanipulasi penyata gaji dengan memecahkan pemberian elaun secara berlapis seperti kewujudan elaun pengangkutan 1, 2, dan 3 secara serentak yang bukan sekadar bertujuan untuk memperdayakan pekerja, malah merupakan helah bagi mengelakkan elaun tersebut daripada diambil kira dalam kadar pengiraan kerja lebih masa.

“Saya ingin berkongsi pengalaman majikan memotong gaji pekerja atas dasar pembayaran yuran pengambilan serta mengambil keputusan sendiri dengan mengenakan denda sebanyak RM50 hingga RM100.00 sewenang-wenangnya jika pekerja tidak hadir,” katanya.

Bagi menggambarkan impak pelanggaran hak asasi ini, Puan Noraini Nordin mengimbas kembali kes jenama terkenal pada tahun 2021 yang melibatkan penamatan kontrak pembekal utama (Syarikat A) akibat isu buruh paksa yang dikesan pada rantaian subkontraktor mereka menerusi pengauditan mengejut oleh pihak ketiga.

Hasil pengauditan berdasarkan Konvensyen 29 (11 Indikator Buruh Paksa) tersebut telah menemui tiga pelanggaran berat, iaitu pekerja subkontraktor dipaksa bekerja lebih masa secara melampau sehingga 186 jam berbanding dengan had undang-undang 104 jam, pemotongan upah tidak adil bagi yuran pengambilan (recruitment fee), serta penyediaan penginapan daif umpama “tin sardin”.

Beliau turut menggariskan elemen lain yang membawa kepada isu buruh paksa, selain tindakan penahanan pasport pekerja oleh majikan yang mewujudkan sekatan terhadap kebebasan bergerak.

“Pasport ialah hak peribadi individu yang mestilah diserahkan kepada pekerja. Selain itu, terdapat juga isu jeratan hutang seperti kes pembantu rumah domestik yang tidak dibayar gaji beberapa bulan berturut-turut atas alasan membayar semula kos kemasukan,” tambahnya.

Mengakhiri sesi perbincangan, Puan Noraini Nordin menegaskan bahawa syarikat antarabangsa (MNC) dari AS dan Eropah amat menitikberatkan isu perburuhan dan akan memeriksa keseluruhan rantaian bekalan melalui juruaudit bebas.

“Walaupun perniagaan tempatan hanya membekalkan komponen kecil seperti benang kepada pembekal utama, syarikat tetap akan menerima implikasi besar sekiranya rantaian tersebut dikesan mengamalkan buruh paksa berdasarkan 11 indikator yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi