Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Pertandingan Forum Remaja dapat membantu pelajar memperluas kota kata dan menggunakan bahasa Melayu yang bermutu tinggi, serta membantu membina kematangan berfikir pelajar yang menjadi asas kepada pembentukan nilai kepemimpinan dalam kalangan pelajar.
Demikian antara intipati ucapan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Encik Muddin Beting yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin bersempena dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Forum Remaja 2024 Peringkat Negeri Sabah.
Dalam ucapan alu-aluan Timbalan Pengarah I, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin yang mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, menyifatkan penyertaan pelajar dalam aktiviti berforum dapat memupuk bakat dan kemahiran berbahasa yang baik, selain melahirkan generasi yang berani berhujah secara rasional di hadapan khalayak umum.
Program tahunan yang diadakan secara tahunan ini telah berlangsung di Sudut Penulis, DBP Cawangan sabah dengan kerjasama JPN Sabah.
Tempat pertama berjaya dijulang oleh Sekolah Menengah Kuhara, Tawau yang membawa pulang hadiah wang bernilai RM1000 beserta sijil penghargaan.
Bagi tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu dan Sekolah Menengah Islamiah, Tawau yang masing-masing membawa pulang wang bernilai RM700 dan RM500 beserta sijil penghargaan.
Selain itu, hadiah sagu hati pula disandang oleh pasukan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sandakan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohamad Ali, Ranau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bum-Bum, Semporna yang masing-masing membawa pulang wang bernilai RM300 untuk setiap pasukan serta sijil penghargaan.
Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara turut meraih kemenangan berganda apabila pelajarnya Nurul Nabilah Mohd. Tarmizi dan Arinah Qasrina Irwan dinobatkan sebagai Ahli Forum Terbaik dan Pengerusi Forum Terbaik yang turut membawa pulang wang bernilai RM200 dan sijil penghargaan.