Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Sejak penubuhannya lima dekad lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mengalami evolusi seiring dengan perubahan masa untuk mencapai matlamat jangka masa panjang dengan memberikan pendidikan dalam pelbagai bidang dan perkhidmatan yang bermutu tinggi.
“Tempoh 50 tahun merupakan satu tempoh yang mematangkan UiTM Cawangan Perlis sebagai hab akademik dalam bidang sains dan teknologi serta sains sosial (pengajaran dan pembelajaran) yang berdaya saing,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika berucap dalam Majlis Sambutan Kemuncak Jubli Emas UiTM Cawangan Perlis di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis, hari ini.

Tambah beliau, UiTM Cawangan Perlis telah berjaya melahirkan ribuan graduan yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan kejayaan tersebut tidak terhad kepada bidang akademik sahaja, malah meliputi penyelidikan, inovasi dan pelibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.
Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa UiTM Cawangan Perlis telah meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam penerbitan yang berimpak tinggi dengan memperoleh geran penyelidikan sebanyak lapan juta ringgit sepanjang tempoh tiga tahun ini, sekali gus menunjukkan bahawa UiTM Cawangan Perlis bukan hanya menjadi hab akademik tetapi merupakan sebuah gedung ilmu yang melahirkan banyak pakar dan penyelidik dari pelbagai bidang di Perlis.
Ujar beliau,
UiTM Cawangan Perlis terus unggul dalam menyediakan pendidikan berkualiti dengan pelbagai program yang diiktiraf pada peringkat nasional dan antarabangsa. Institusi keramat ini juga telah berjaya mencipta pelbagai inovasi dan menjalankan penyelidikan yang memberikan impak besar kepada industri dan masyarakat, mengeluarkan banyak produk dan teknologi yang dipatenkan serta mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain itu, UiTM Cawangan Perlis aktif dalam melaksanakan program khidmat masyarakat yang memberikan manfaat kepada komuniti setempat termasuklah program keusahawanan, kebajikan dan pembangunan modal insan yang memberikan impak positif kepada masyarakat yang telah dijalankan oleh setiap fakulti dan bahagian.
“Dalam menyambut usia 50 tahun, kita perlu terus bergerak maju dengan lebih dinamik dan proaktif dengan memperkasakan pendidikan digital dan mempertingkat jaringan kolaborasi untuk membuka peluang bagi pertukaran pelajar dan staf serta penyelidikan bersama yang lebih bermutu dan berimpak,” kata beliau.
Seiring dengan hasrat YBhg. Datuk Naib Canselor UiTM, UiTM Cawangan Perlis memberikan tumpuan kepada penyelidikan yang relevan dengan keperluan industri dan masyarakat demi memajukan penyelidikan dan inovasi, sekali gus menjadikan universiti ini sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa UiTM Cawangan Perlis perlu mempertingkat kemudahan dan infrastruktur kampus untuk memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar dan staf yang dapat dicapai melalui Blueprint Pelan Transformasi UiTM Cawangan Perlis 2024 – 2034 yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis pada 5 Julai 2024 lalu.
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga UiTM Cawangan Perlis yang telah menyumbang kepada kemenjadian universiti tersebut selama ini, sama ada dalam kalangan staf akademik, pentadbiran, pelajar, alumni, rakan industri dan masyarakat setempat.