Diterbitkan pada 11 Jun 2026, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Parlimen Padang Besar memainkan peranan penting sebagai pusat pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti, agenda pendidikan, serta latihan kemahiran demi manfaat langsung masyarakat setempat.

Pengarah KEMAS Negeri Perlis, Encik Mohamad Zaki Haji Ismail menegaskan bahawa kepelbagaian program yang dirangka KEMAS berpaksikan matlamat murni untuk memperkasakan landskap sosioekonomi masyarakat melalui penguasaan kemahiran, peningkatan taraf hidup, dan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.

“KEMAS Perlis disokong oleh sebanyak 298 warga kerja yang memegang teguh komitmen serta amanah bagi memastikan setiap rantaian perkhidmatan dan program agensi ini dapat dialirkan secara optimum demi kesejahteraan rakyat,” jelas beliau.

Maklumat berkenaan dipersembahmaklumkan oleh Mohamad Zaki ketika mengiringi keberangkatan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Program Kayuhan KEMAS-MAIPs Peduli di sekitar daerah ini.

Turut berangkat memuliakan program tersebut ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, DYAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Program Kayuhan KEMAS-MAIPs Peduli merupakan satu inisiatif dinamik yang diterajui oleh baginda,hasil sinergi strategik antara KEMAS Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Aktiviti berbasikal ini diangkat sebagai wahana turun padang yang efektif untuk mendekati dan menyantuni denyut nadi marhaen, di samping memudahkan pengagihan bantuan zakat secara telus dan terus kepada golongan yang memerlukan.

Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga asnaf terpilih dari Kampung Alor Tampang, antaranya ialah Intan Daros, 73 tahun, Matt Ali Matt Isa, 67 tahun, serta Asri Matt Rose, 52 tahun, masing-masing berasal dari Kampung Alor Tampang.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail semasa meninjau bengkel kemahiran PKM KEMAS bagi melihat sendiri hasil seni tangan dan jahitan komuniti yang menjadi antara nadi penggerak ekonomi penduduk setempat.

Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke PKM Alor Tampang bagi meninjau aktiviti yang dijalankan di Bengkel Jahitan KEMAS dan Bengkel Seni Tangan KEMAS yang menjadi antara platform pembangunan kemahiran serta penjanaan pendapatan komuniti setempat.

Program seumpama ini jelas menzahirkan iltizam berterusan KEMAS dan MAIPs dalam memperkukuh acuan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan turun padang yang menyeluruh, sekali gus emastikan manfaat pembangunan dan kebajikan dapat dirasai secara langsung oleh golongan yang memerlukan.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi