Diterbitkan pada 10 Jun 2026, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar Usaha memperkasakan martabat Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus dipergiat bagi memastikan kredibiliti angkatan ini kekal dihormati oleh masyarakat.

Selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Tentera Darat 20212050 (Army4nextG), pengukuhan Rejimen Askar Wataniah pada masa ini dipacu secara lebih agresif bagi menyokong evolusi keupayaan Tentera Darat Malaysia.

Keberkesanan fungsi pembesaran pasukan melalui penambahan kekuatan angkatan bergantung sepenuhnya pada konsistensi latihan serta pemantapan konsep afiliasi, iaitu kerjasama bersepadu antara Angkatan Tetap dengan Angkatan Sukarela.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat ke Kem Bukit Keteri bagi meninjau perkembangan terkini Projek Pembangunan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di sana.

Keberangkatan baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertujuan untuk memantau kemajuan pembinaan prasarana logistik. Hal ini bagi memastikan kesiapsagaan kem ini untuk menerima kemasukan pelatih tidak lama lagi.

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa memantau kemajuan pembinaan prasarana logistik.

Skop kerja di kem ini melibatkan pembinaan blok penginapan pelatih dan penyediaan prasarana asas, kemudahan sokongan, tempat ibadat, serta kawasan sukan dan rekreasi.

Pembangunan Fasa 1 Kem Bukit Keteri dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan bulan Jun 2026. Kem ini bakal beroperasi sebagai lokasi ketiga PLKN 3.0, selepas Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pahang.

Kredit Foto: Rejimen 504 Askar Wataniah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi