Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah dalam memperkasakan ekosistem pembacaan negara melalui pembangunan buku audio. Langkah ini diambil bagi memenuhi keperluan gaya hidup masyarakat moden dan generasi muda yang lebih dekat dengan kandungan digital.
Menerusi sesi bual bicara “Apabila Naskhah Bersuara”, pencerahan yang mendalam tentang industri ini telah dikongsikan oleh dua orang panel undangan, iaitu Encik Nazrul J.Izzat Yaackob dan Puan Hasni Jamali. Mereka merupakan antara tulang belakang bagi pembangunan buku audio DBP dan narator hebat buku audio DBP.
Acara yang berlangsung di Pentas Utama, Reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada petang semalam ini diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Mengulas mengenai proses penerbitan buku audio, Encik Nazrul J.Izzat Yaackub menjelaskan bahawa pembangunan sesebuah buku audio bukanlah perkara yang mudah untuk dirancang dan dilaksanakan. Beliau menggariskan empat faktor utama yang dinilai oleh pasukan DBP sebelum sesuatu judul diangkat sebagai buku audio. Antaranya termasuklah kandungan buku, narator, penyuntingan dan sasaran khalayak.
Kandungan buku menjadi faktor utama dalam penilaian kesesuaian teks untuk menentukan kaedah penyampaian yang paling efektif mengikut genre. Sebagai contohnya, perbezaan gaya bacaan antara buku kanak-kanak, novel dan jurnal puisi. Narator pula perlu memiliki keupayaan untuk menyesuaikan karakter dengan suara sebagai pencerita suara latar bagi genre naskhah yang dipilih. Dari aspek penyuntingan, kualiti buku audio hendaklah berada pada tahap terbaik untuk menjamin pengalaman mendengar yang memuaskan dan mencapai sasarannya. Sasaran khalayak pembaca turut dikenal pasti daripada kumpulan sasar bagi menetapkan bentuk gaya penyampaian yang paling tepat.
Encik Nazrul J.Izzat Yaackub turut menzahirkan pandangan optimis terhadap unjuran pasaran industri ini dalam tempoh 10 tahun yang akan datang. Beliau menjangkakan bahawa landskap pembacaan buku audio di Malaysia akan menjadi lebih meriah, menyamai trend di negara maju seperti Sweden yang menjadikan format ini sebagai elemen utama landskap pembacaan selain buku bercetak.

Bagi merealisasikan visi tersebut, DBP akan terus meningkatkan kualiti penerbitan tahunan menerusi penyuntingan audio yang lebih kemas serta memperhalus adunan kesan khas bunyi (sound effects) seperti bunyi petir dan elemen semula jadi lain berdasarkan maklum balas serta input daripada masyarakat.
Mengulas dengan lebih lanjut tentang inovasi buku audio, Encik Nazrul J.Izzat Yaackub menegaskan bahawa buku audio bertindak sebagai pelengkap yang memperkaya dunia pembacaan, dan bukannya sebagai pengganti buku fizikal. Walau bagaimanapun, aspek pemilihan kandungan dan kualiti teknikal buku audio, tetap menjadi kunci utama untuk menarik minat pembaca.
Sementara itu, Puan Hasni Jamali turut berkongsi pengalaman tentang kepentingan melakukan persediaan awal untuk mendepani rasa gugup, terutamanya bagi mereka yang baru pertama kali menceburkan diri dalam bidang seni suara.
Bagi memastikan kelancaran proses rakaman, beliau menggariskan beberapa persediaan kritikal yang merangkumi aspek teknikal dan penjagaan diri termasuklah menguasai lontaran suara, ketepatan intonasi, estetika permainan bahasa dan kejituan jeda mengikut laras tatabahasa yang betul. Persediaan ini boleh dilakukan oleh narator dengan menjaga kualiti tidur pada waktu malam sebelum sesi rakaman pada keesokan harinya. Hal ini dapat mengelakkan gangguan pada suara narator. Selain itu, narator digalakkan untuk mengikuti petua tradisional dengan mengambil minuman air asam jawa. Narator juga perlu menitikberatkan aspek penghayatan intipati cerita dan mendinamikkan emosi naskhah.
Sebagai penggiat seni suara, Puan Hasni Jamali turut menekankan bahawa penghasilan buku audio menuntut ketelitian yang tinggi berbanding dengan alih suara kartun biasa. Sentuhan emosi narator dalam buku audio memerlukan kawalan ton, jeda dan sebutan yang tepat mengikut tanda baca kerana pendengar bergantung sepenuhnya pada deria telinga. Gaya penyampaian narator juga perlu lebih fleksibel, lembut dan santai untuk buku kanak-kanak, tetapi penuh bertenaga dan tegas untuk genre motivasi serta ilmiah.
Menjawab isu kesan suara kecerdasan buatan (AI) dalam industri buku audio, beliau mengakui bahawa AI mampu meniru pelbagai watak, namun aspek ketepatan tatabahasa dan jiwa (emosi manusia) tetap memerlukan penelitian semula agar kualiti karya tidak terjejas.
Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; dan Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, Puan Naimah Yusof.