Diterbitkan pada 2 Jun 2026, 21:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Ketokohan Allahyarham A. Samad Ismail sebagai wartawan, sasterawan, pemikir dan pejuang bahasa dikupas menerusi program Sembang Santai yang membincangkan buku Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi.

Program tersebut dikendalikan oleh Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, Encik Abdul Ghani Abu, manakala Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir tampil sebagai pembicara.

Menurut Dato Dr. Jeniri, buku karya Azhar Wahid tersebut meneliti pengaruh besar A. Samad Ismail dalam dunia kepengarangan Melayu melalui pendekatan sosiologi genetik yang menghubungkan karya sastera dengan realiti sosial masyarakat pada zamannya.

Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir.

Dato Dr. Jeniri berkata, pengalaman hidup A. Samad Ismail sepanjang era pendudukan Jepun, perjuangan kemerdekaan dan perkembangan politik serantau banyak mempengaruhi tema yang diketengahkan dalam novel, serta penulisan kewartawanannya.

Menurut beliau, karya A. Samad Ismail memperlihatkan hubungan yang erat antara pemikiran pengarang dengan realiti sosial masyarakat pada zamannya, termasuk kesan pendudukan Jepun dan perubahan sosial yang berlaku ketika itu.

“Persoalan yang diungkapkan oleh pengarang mempunyai kaitan langsung dengan realiti sosial yang dihadapi masyarakat pada sesuatu zaman. Kesan pendudukan Jepun dan perubahan sosial masyarakat menjadi antara tema penting dalam karya beliau,” katanya.

Dalam sesi tersebut, Dato Dr. Jeniri turut berkongsi pengalaman beliau bersama-sama dengan tokoh berkenaan ketika mengundang A. Samad Ismail menyampaikan ceramah kepada wartawan muda di Sarawak pada tahun 1986.

Menurutnya, beliau pernah mengemukakan pertanyaan berkaitan dengan penulisan rencana pengarang kepada A. Samad Ismail dan menerima jawapan bertulis sepanjang 20 halaman seminggu kemudian.

Katanya, pengalaman tersebut mencerminkan kesungguhan A. Samad Ismail dalam membimbing generasi muda, serta menyumbang kepada pembangunan kewartawanan negara.

Beliau menambah bahawa A. Samad Ismail bukan sahaja menghasilkan 11 buah novel dalam tempoh kira-kira sedekad, malah turut memberikan sumbangan besar kepada dunia kewartawanan tanah air menerusi pelibatannya dengan akhbar Berita Harian dan New Straits Times.

Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail nukilan Azhar Wahid.

Menurut Dato Dr. Jeniri, A. Samad Ismail berjaya menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dari era pendudukan Jepun dan kemerdekaan negara hingga perkembangan media moden, termasuk menyumbang kepada pembentukan identiti Buletin Utama TV3.

Beliau turut menyifatkan tokoh tersebut sebagai intelektual ulung, penganalisis politik yang tajam, serta pejuang bahasa Melayu yang istiqamah dalam memperjuangkan kepentingan bahasa dan bangsa.

Dalam sesi itu, beliau mencadangkan agar tulisan kolum A. Samad Ismail yang pernah diterbitkan dalam majalah terbitan DBP dihimpunkan dan diterbitkan semula bagi membolehkan generasi muda menelusuri pemikiran, serta gagasan tokoh berkenaan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha DBP mempromosikan karya terbitannya kepada masyarakat menerusi sesi kupasan buku yang melibatkan tokoh akademik, penulis dan pemikir tanah air.

Melalui buku Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail, pembaca bukan sahaja dapat menelusuri sumbangan besar beliau dalam bidang sastera dan kewartawanan, malah memahami perkembangan pemikiran nasionalisme, perjuangan bahasa, serta kedinamikan masyarakat Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi