Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para penggiat media agar sentiasa berwaspada dengan cabaran kemajuan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) yang berpotensi mencetuskan ancaman penjajahan minda baharu pada era digital ini.
“Apabila membincangkan perihal AI, kita membicarakan tentang keperluan menggapai hal yang lebih baharu, tetapi perlu berwaspada terhadap kehilangan jati diri, lunturnya nilai dan iktikad,” tegas beliau ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 di The Majestic Hotel.

“Jika dahulu penjajahan minda dipengaruhi oleh kuasa politik dan kolonial, kini ancaman tersebut beralih kepada teknologi, khususnya digitalisasi. Perubahan ini menuntut negara menguasai teknologi baharu agar tidak terus dipengaruhi oleh kuasa luar,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan landskap digital pada hari ini memperlihatkan kemunculan kuasa teknologi baharu yang berpotensi mencabar kebebasan berfikir dan martabat kemanusiaan melalui manipulasi ruang digital.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa negara kini berhadapan dengan pergelutan besar untuk terus menguasai teknologi moden tanpa mengorbankan nilai, akhlak dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kita perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa teknologi baharu tidak boleh dipisahkan daripada nilai dan etika,” tegas Perdana Menteri sambil mengingatkan pengamal media agar tidak mudah terpengaruh dengan tekanan persaingan dalam landskap media yang semakin mencabar.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga media yang terus komited mempertahankan kebebasan kewartawanan di Malaysia melalui laporan, pandangan dan teguran yang membina.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi media akan memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi perubahan pesat teknologi.
Majlis penganugerahan berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan pengamal media negara itu turut dihadiri oleh Presiden Malaysian Press Institute (MPI), YBhg. Datuk Yong Soo Heong; Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil; para penaja serta barisan pengurusan tertinggi agensi media tempatan.