Diterbitkan pada 18 Julai 2026, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 103 calon daripada pelbagai parti politik dan calon bebas disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-16 selepas proses penamaan calon selesai di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negeri hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kesemua 103 kertas penamaan calon yang diterima layak bertanding dan tiada satu pun kertas penamaan ditolak.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon, manakala empat lagi bertanding sebagai calon bebas.

Sebanyak 11 kerusi menyaksikan pertandingan dua penjuru, manakala 21 kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru. Dua kerusi masing-masing menyaksikan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.

Dari segi jantina, sebanyak 94 calon lelaki dan sembilan calon wanita bertanding pada pilihan raya kali ini.

SPR turut memaklumkan majoriti calon berada dalam lingkungan umur 40 tahun hingga 49 tahun, iaitu sebanyak 39 orang, diikuti 33 calon berusia antara 50 tahun hingga 59 tahun, 16 calon berusia 60 tahun ke atas, 12 calon berusia 30 tahun hingga 39 tahun dan tiga calon berusia antara 18 tahun hingga 29 tahun.

Calon tertua ialah Abd Latif A. Tambi dari PH yang bertanding di kerusi N.35 Gemencheh pada usia 70 tahun, manakala calon termuda ialah Leevineshwaran Murugan daripada BERSATU yang bertanding di N.33 Sri Tanjung pada usia 23 tahun.

Menurut Pengerusi SPR, YBhg. Dato’ Sri Ramlan Harun, tempoh rasmi berkempen bermula sebaik sahaja pengisytiharan pertandingan dibuat pada hari ini dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 31 Julai.

Kredit Foto: Media Sosial Dato' Seri Utama Haji Aminuddin Harun
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi