Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI–PETRONAS 2025 di The Majestic Hotel melabuhkan tirainya semalam dengan wartawan Sinar Harian, Puan Nurul Hidayah Hamid, dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai.
Majlis pengiktirafan berprestij yang menghimpunkan ratusan penggiat media dari seluruh negara itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan negara, Hadiah Kajai mempunyai sejarah dan nilai yang tersendiri. Dinamakan bersempena dengan Bapa Kewartawanan Melayu, iaitu Abdul Rahim Kajai, anugerah ini diberikan bagi menghargai karya kewartawanan yang cemerlang serta memberikan impak yang besar kepada masyarakat dan negara.
Edisi penganugerahan pada tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima sebanyak 608 penyertaan bagi merebut 23 kategori utama yang dipertandingkan.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuklah Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail (Cetak dan TV), pelbagai anugerah pelaporan merentas format teks, video dan radio, serta Kewartawanan ESG Terbaik. Kesemua kategori ini mencerminkan penghargaan terhadap kecemerlangan, kreativiti dan semangat juang wartawan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Arina Zata Sabila Musthafa Abrar dari Bahagian Majalah, turut mara ke peringkat akhir kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail (Cetak) menerusi karya beliau yang diterbitkan dalam majalah Dewan Masyarakat.

Walau bagaimanapun, tiada pemenang diumumkan bagi kategori Tokoh Wartawan Negara, Tokoh Media Negara dan Anugerah Khas kerana kualiti pencalonan didapati masih belum mencapai tahap yang diperlukan untuk melayakkan calon menerima anugerah berkenaan.
Pada majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyempurnakan majlis pelancaran buku berjudul Kisah di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan, yang menghimpunkan pengalaman 23 orang wartawan tanah air menerusi karya penulisan mereka.
Berucap dalam majlis tersebut, YAB Perdana Menteri mengingatkan penggiat media tentang cabaran baharu era pendigitalan, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) yang berpotensi menjejaskan jati diri dan nilai kemanusiaan dalam penulisan.
“Berkenaan dengan AI, saya kira ada pandangan agar media membicarakan tentang keperluan penggunaan AI pada hari ini dalam media baharu, tetapi kita perlu berwaspada terhadap kehilangan jati diri dan lunturnya nilai manusiawi dalam sesebuah penulisan,” tegas beliau.

Sementara itu, Presiden Malaysian Press Institute (MPI), YBhg. Datuk Yong Soo Heong melahirkan perasaan bangga terhadap penyertaan pada tahun ini yang menunjukkan peningkatan ketara, selain mutu karya yang dihasilkan berada pada tahap yang amat membanggakan.
“Lebih penting, mutu penulisan dokumentari dan persembahan multimedia dari Sabah dan Sarawak kini setanding dengan karya rakan-rakan dari Semenanjung. Perkembangan ini amat membanggakan,
“Kami mahu wartawan menjadi lebih tajam semasa melaporkan dan menyunting berita, selain cekap memanfaatkan teknologi, termasuklah kecerdasan buatan. Namun begitu, mereka perlu terus berpegang pada hakikat bahawa mesin tidak mampu membentuk naratif,” ujar beliau dalam ucapan tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita, sebaliknya memikul amanah besar untuk menyampaikan maklumat yang penting dan sahih kepada masyarakat.

Bagi memeriahkan lagi suasana malam kemuncak tersebut, tetamu kehormat dan penggiat media turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada dua artis terkemuka tanah air, iaitu Amir Masdi dan Shila Amzah. Persembahan tersebut sekali gus melengkapkan kemeriahan Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 yang meraikan kecemerlangan, dedikasi dan sumbangan penggiat media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.