Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 bagi memperkukuh sistem kesejahteraan sosial negara melalui pengiktirafan dan pengawalseliaan profesion berkenaan secara lebih profesional, beretika dan berakauntabiliti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata bahawa kelulusan RUU ini merupakan satu reformasi institusi yang akan mengangkat martabat profesion kerja sosial setanding dengan profesion profesional lain di negara ini.

“Langkah ini bukan sekadar memperkenalkan undang-undang baharu, malah memastikan rakyat menerima perkhidmatan daripada pengamal yang kompeten, beretika dan memenuhi piawaian profesional yang ditetapkan,” katanya.

Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, undang-undang khusus ini menjadi semakin mendesak berikutan landskap sosial negara yang semakin kompleks merangkumi perubahan demografi, peningkatan populasi warga emas, urbanisasi, kos sara hidup, serta pelbagai cabaran sosial baharu.

Melalui perundangan baharu ini, Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan ditubuhkan secara rasmi untuk menjalankan fungsi utama seperti yang berikut:

  • Mengeluarkan perakuan amalan kepada pengamal kerja sosial yang memenuhi syarat.
  • Membangunkan standard kompetensi profesional.
  • Mengawal selia etika dan tatatertib profesion.
  • Memperkukuh promosi serta advokasi berkaitan profesion kerja sosial.

Penubuhan majlis ini juga membolehkan orang ramai mengesahkan kelayakan pengamal kerja sosial yang berdaftar sebelum mendapatkan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan sosial negara.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menjelaskan, kelulusan RUU ini adalah hasil komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama-sama dengan pemegang taruh sejak lebih sedekad lalu menerusi pelbagai siri libat urus berskala besar.

Langkah ini juga dijangka merancakkan pembangunan modal insan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, serta memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dengan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 23 orang ahli Dewan Rakyat daripada kedua-dua pihak yang mengambil bahagian dalam perbahasan Bacaan Kali Kedua RUU tersebut.

KPWKM memberikan jaminan akan meneliti setiap syor yang dikemukakan bagi menambah baik pelaksanaan akta ini pada masa hadapan demi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat.

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi