Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Digital telah berjaya memperkenalkan Sistem Hansard Parlimen bagi memudahkan orang awam mengakses rekod rasmi perbahasan di Parlimen secara dalam talian.
“Kini lebih mudah melalui Sistem Hansard Parlimen, yang dibangunkan oleh Kementerian Digital bagi memudahkan orang ramai mengakses rekod rasmi perbahasan Parlimen,” jelas kementerian tersebut menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, baru-baru ini.
Pembangunan sistem digital ini adalah amat bertepatan dan selaras dengan aspirasi kerajaan menerusi kerangka Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta wawasan Ke Arah Negara AI 2030.
Menurut hantaran itu lagi, “Sistem ini mempertingkat akses kepada maklumat awam melalui pendigitalan perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mudah dicapai.”
Menerusi inisiatif tersebut, rakyat kini berpeluang untuk menelusuri secara dekat setiap butiran perbincangan penting yang telah dibahaskan oleh wakil-wakil rakyat.
“Akses rekod rasmi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Kamar Khas pada bila-bila masa,” tambah kementerian itu.
Pengguna awam yang berminat untuk membuat semakan hanya perlu melayari portal rasmi sistem tersebut menerusi pautan https://hansard.parlimen.gov.my untuk memulakan carian.
Bagi mengelakkan kekeliruan, pihak kementerian turut memuat naik sebuah video panduan ringkas pada hantaran yang sama bagi memaparkan langkah demi langkah mengenai cara menggunakan Sistem Hansard Parlimen tersebut.