Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menetapkan tarikh 18 Julai 2026 bersamaan dengan hari Sabtu ini sebagai Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16.
Setiausaha SPR, YBhg. Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan bahawa proses penyerahan Kertas Penamaan Calon akan bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.
“Dokumen penting tersebut hendaklah diserahkan secara rasmi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang bertugas di lapan buah Pusat Penamaan Calon yang telah dikhususkan,
“Proses penyerahan boleh dilakukan oleh calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, mahupun oleh seorang daripada individu-individu berkenaan,
“SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri, Negeri Sembilan sebelum Hari Penamaan Calon,” jelas beliau menerusi kenyataan media tersebut.
Beliau turut menasihati bakal calon agar melunaskan pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran tersebut pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran yang sah.
Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, calon diwajibkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti terbabit sewaktu membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon.
“Kesemua calon yang telah menjelaskan bayaran deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk sepenuhnya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedang berkuat kuasa,” tegas beliau lagi.
Dalam pada itu, pihak SPR menyeru agar semua bakal calon dan parti politik yang terlibat sentiasa mematuhi segala undang-undang, peraturan serta tata etika yang telah ditetapkan sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Pematuhan teliti terhadap arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak SPR, PBT, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat diwajibkan bagi memastikan keseluruhan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar.