Diterbitkan pada 18 Julai 2026, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 atau lebih dikenali sebagai PRN Negeri Sembilan menyaksikan sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, iaitu melibatkan sebanyak 889,490 pengundi berdaftar di negeri tersebut.

PRN Negeri Sembilan pada kali ini turut memperlihatkan YB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun, calon Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan kerusi di N.32 Linggi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan pernah memenangi kerusi di N.13 Sikamat selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2008 dan pada kali ini telah mempertaruhkan kedudukan beliau di N.32 yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Walaupun ini pertama kali saya bertanding di DUN Linggi, khidmat saya kepada masyarakat di sini bukanlah bermula pada hari ini. Sejak diberi amanah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan Menteri Besar Negeri Sembilan, DUN Linggi sentiasa menjadi sebahagian daripada tanggungjawab dan gerak kerja saya,”  ulas beliau menerusi kenyataan rasmi dalam akaun media sosial ketika menghadiri pusat penamaan calon, di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, pagi ini.

N.32 Linggi turut memperlihatkan YB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun berdepan dengan saingan tiga penjuru, iaitu YBhg. Datuk Mohd Faizal Ramli (Barisan Nasional) dan YBhg. Datuk Zamri Md Said (BERSATU).

Kedudukan PH dalam PRN Negeri Sembilan turut dicabar oleh Barisan Nasional (BN) dengan 25 kerusi; Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan 24 kerusi; Perikatan Nasional (PN) dengan 11 kerusi; Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA); Parti Orang Asli Malaysia (ASLI); Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan BEBAS dengan masing-masing bertanding satu kerusi.

Sebagai rekod, keputusan PRU DUN Ke-15 Negeri Sembilan telah menyaksikan kemenangan yang diraih oleh PH, iaitu sebanyak 17 kerusi, manakala BN berjaya meraih sebanyak 14 kerusi.

Gabungan kedua-dua parti tersebut atas nama Kerajaan Perpaduan telah membolehkan mereka membentuk semula kerajaan dengan memperoleh majoriti mudah, iaitu lebih daripada dua per tiga kerusi dan berjaya meraih 31 kerusi DUN.

SPR telah menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan adalah pada 28 Julai 2026, manakala hari pengundian adalah pada 1 Ogos 2026.

Bagi memastikan kelancaran pada PRN Negeri Sembilan, sebanyak 4,800 anggota polis ditugaskan, selain 1,373 angota polis dari Bukit Aman akan turut membantu sepanjang tempoh tersebut.

Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan pada 5 Jun 2026 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir.

Senarai penuh calon PRN Negeri Sembilan Ke-16 boleh dilihat di sini.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi