Diterbitkan pada 18 Julai 2026, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengerusi SPR, YBhg. Dato’ Sri Ramlan Harun berkata, semua calon perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk pembayaran deposit bahan kempen serta mematuhi undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen.

Beliau berkata, bahan kempen seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster wajib memaparkan nama serta alamat pencetak dan penerbit, kecuali bagi bendera, poster simbol parti serta gambar pemimpin parti atau calon.

Menurut beliau, bahan kempen yang mengandungi unsur mengembangkan perasaan jahat, berbaur perkauman, menyentuh sensitiviti agama atau berunsur hasutan adalah tidak dibenarkan.

SPR turut berharap semua pihak menjalankan kempen secara harmoni serta mematuhi undang-undang dan peraturan sepanjang tempoh berkempen yang berakhir pada 31 Julai ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mengaktifkan Bilik Gerakan PRU yang beroperasi 24 jam sehari mulai hari ini hingga 2 Ogos bagi menerima aduan berkaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang pilihan raya berlangsung.

Selain itu, 60 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Negeri Sembilan diaktifkan sebagai pusat media sokongan yang menyediakan ruang kerja dan capaian Internet berkelajuan tinggi kepada petugas media.

Dalam usaha memudahkan liputan media, Kementerian Komunikasi turut mengoperasikan tiga pusat media di Hotel Seri Malaysia Seremban, NADI Kampung Gentam di Kuala Pilah dan NADI Kampung Paya di Port Dickson bermula 17 Julai hingga 1 Ogos.

YBhg. Dato’ Sri Ramlan turut merakamkan penghargaan kepada pegawai pengurus pilihan raya, kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, Kementerian Komunikasi, petugas media serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi