Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan bendera Malaysia dan Perlis kepada Nur Raisya Adelya Sofea Suwardi dalam satu majlis yang berlangsung di pekarangan Astaka Dataran Masjid Alwi, Kangar.
Nur Raisya Adelya Sofea, 11 tahun, merupakan murid Sekolah Kebangsaan Paya, Kangar, yang telah terpilih mewakili Malaysia ke 32nd World Children’s Baseball Fair 2026 yang akan berlangsung di Bandar Narita, Wilayah Chiba, Jepun, dari 30 Julai hingga 7 Ogos 2026.
Majlis penyerahan bendera tersebut menjadi simbol penghargaan dan sokongan kepada Nur Raisya yang bakal menggalas cabaran negara pada peringkat antarabangsa, selain menyuntik semangat dan keyakinan kepadanya untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan.
Pada majlis yang sama, Nur Raisya turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sebagai tanda galakan dan sokongan terhadap usaha Nur Raisya mengharumkan nama negeri dan negara.
Nur Raisya merupakan antara lima peserta yang dipilih untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan berprestij itu, sekali gus membuktikan bakat, potensi dan keupayaan atlet muda negara untuk bersaing pada peringkat antarabangsa.
Pemilihan Nur Raisya bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada keluarga dan Sekolah Kebangsaan Paya, malah turut mengangkat nama Perlis sebagai negeri yang berjaya melahirkan atlet muda berbakat sehingga diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Kejayaan tersebut mencerminkan hasil usaha gigih, disiplin dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Nur Raisya dalam bidang sukan, di samping membuktikan bahawa anak-anak Perlis mampu mencipta kecemerlangan apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang berterusan.
Penyertaan Nur Raisya ke 32nd World Children’s Baseball Fair 2026 diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar dan atlet muda untuk terus berusaha mengejar kecemerlangan serta berani membawa nama Perlis dan Malaysia ke persada antarabangsa.
Untuk rekod, hanya 14 buah negara terpilih menyertai kejohanan tersebut, manakala Malaysia diberi penghormatan menghantar lima orang atlet, termasuk Nur Raisya sebagai seorang daripada wakil negara.
