Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memaknai erti sebenar kemerdekaan dengan mengukuhkan perpaduan antara kaum demi mengangkat martabat negara di persada dunia.
Seruan patriotik tersebut disuarakan oleh YAB Perdana Menteri ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sultan Azlan Shah Ipoh, hari ini.

Dalam amanatnya, beliau mengingatkan generasi masa kini tentang sejarah pahit penjajahan kuasa asing yang pernah merampas maruah serta khazanah kekayaan negara.
“Setiap kali kita sambut acara kemerdekaan, kita tidak boleh melupakan kenyataan sejarah bahawa Malaysia tercinta, termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, pernah dijajah,” tegas beliau.
Menyentuh tentang pembinaan negara bangsa, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemerdekaan yang dinikmati pada hari ini dicapai menerusi keringat, darah, dan air mata perjuangan pelbagai pihak, termasuk kaum Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan seluruh rakyat agar terus mempertahankan dan memupuk perpaduan berlandaskan cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu” bagi membina sebuah negara yang cemerlang.
Bagi membuktikan keberhasilan kemerdekaan dari sudut pembangunan ekonomi semasa, Perdana Menteri turut menyentuh pencapaian negara dalam mengekalkan harga bahan api pada paras yang rendah bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Penjawat awam yang tidak diberi kenaikan selama 12 tahun, pada tahun ini dan pada tahun lalu kita naikkan gaji dan upah penjawat awam. Ini dalam kerangka memaknai kemerdekaan,” ujar beliau.
Menjelang kemuncak sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), beliau menyeru seluruh rakyat agar tidak menjadikan amalan mengibarkan bendera sekadar rutin tahunan semata-mata tanpa penghayatan terhadap makna kemerdekaan.
“Bukan sekadar kibar Jalur Gemilang, tetapi kibarkan dengan perasaan bangga. Kita ini daripada generasi yang mahu negara ini kekal merdeka dan berdaulat,” seru beliau bagi menyemarakkan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat.

Suasana majlis turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu patriotik serta kibaran Jalur Gemilang oleh ribuan hadirin yang memenuhi dewan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil; Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, serta barisan kepimpinan utama negara.