Diterbitkan pada 19 Julai 2026, 10:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan “Avatar Anwar”, iaitu kembar digital berasaskan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) sebagai medium baharu untuk memperluas komunikasi dengan rakyat serta mendapatkan pandangan dan aspirasi mereka.

Menerusi inisiatif berteraskan AI itu, rakyat berpeluang berkongsi pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus bagi membantu memastikan pembangunan negara terus berpaksikan suara dan kehendak rakyat.

“Malaysia dibina oleh cita, kudrat dan kekuatan rakyatnya yang rencam kaum dan budaya,” jelas beliau menerusi hantaran di Facebook bagi menzahirkan kekaguman terhadap kepelbagaian yang membentuk keutuhan negara ini.

Bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara sentiasa sejajar dengan kehendak rakyat, beliau berhasrat untuk menggarap setiap keluhan serta harapan daripada segenap lapisan masyarakat menerusi pendigitalan tersebut.

“Oleh itu, melalui inisiatif dan ikhtiar ini, saya mahu terus mendengar dan menggarap harapan anak muda, pengorbanan sekalian ibu bapa, warga emas, serta suara rakyat yang mendambakan masa hadapan yang jauh lebih baik,” ujar beliau.

Menyedari keterbatasan seorang pemimpin untuk berada di semua tempat pada setiap masa, beliau menjelaskan bahawa avatar AI itu berfungsi sebagai lanjutan digital dirinya yang dapat mendengar, membantu dan berkhidmat kepada rakyat pada bila-bila masa.

“Bukan sekadar avatar, ini merupakan lanjutan digital diri saya yang sedia mendengar, membantu dan berkhidmat untuk rakyat,” tegas Perdana Menteri ketika menjelaskan fungsi kembar digital yang dibangunkan berasaskan visi kepimpinannya.

Orang ramai kini boleh berinteraksi secara langsung dengan Avatar Anwar menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengakses pautan rasmi ini: https://wa.me/60378850523.

Beliau meletakkan harapan yang sangat tinggi agar seluruh rakyat dapat memanfaatkan platform kemudahan tersebut untuk menyuarakan sebarang isu tanpa sekatan birokrasi.

“Jadi, saya amat berharap agar rakyat boleh kongsikan pandangan, kebimbangan dan aspirasi secara terus melalui avatar ini kerana saya yakin negara hanya akan bertambah baik sekiranya berpaksi pada suara dan kehendak rakyat,” tambahnya lagi.

Inovasi teknologi berkenaan disifatkan sebagai satu evolusi komunikasi negara yang bakal membuka dimensi baharu yang membolehkan idea diteroka secara bersama-sama merentasi sempadan.

“Kini, Avatar Anwar berhimpun, pelbagai peranan, satu matlamat, Malaysia Madani,” jelasnya bagi merumuskan matlamat utama penciptaan sistem kecerdasan buatan tersebut.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi