Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Aspek kebajikan khususnya melibatkan isu kemudahan, infrastruktur dan ekosistem kampus kondusif bagi menyokong pembelajaran dan pengajaran yang berkualiti terus diberikan tumpuan menerusi Pelan Transformasi UiTM Cawangan Perlis 2024–2034.
DYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Pelan Transformasi UiTM Cawangan Perlis 2024–2034 pada hari ini di Masjid An-Nur, UiTM Cawangan Perlis.
Menurut UiTM, inisiatif itu merupakan satu daripada usaha daripada pihak pengurusan kanan dalam memastikan kebajikan warganya terjaga dan terpelihara.
Rangka Tindakan (Blueprint) Perumahan ini merupakan dokumen berkaitan dengan perancangan pembangunan kampus terbaharu yang disediakan oleh Bahagian Transformasi Universiti dengan kerjasama Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti yang mempunyai empat fasa.
Fasa pertama (0–3 tahun) memberikan tumpuan kepada pembaikan dan penggantian kemudahan, serta infrastruktur sedia ada yang sudah uzur; fasa kedua (0–5 tahun) melibatkan kerja menaiktarafkan kemudahan infrastruktur, pengajaran dan pembelajaran, serta pengindahan kampus; fasa ketiga (0–8 tahun) memberikan tumpuan kepada naik taraf infrastruktur, rangkaian Internet tanpa wayar dan mewujudkan dana penyelenggaraan; manakala fasa empat (9–10 tahun) memastikan kemapanan kampus jangka panjang melalui persekitaran yang kondusif untuk setiap warga kampus.
Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi mengatakan bahawa dokumen rangka tindakan itu merupakan hasil usaha kolektif dan komitmen tinggi daripada seluruh warga UiTM Cawangan Perlis dalam merealisasikan visi dan misi universiti ini untuk dekad yang akan datang.
Rangka tindakan ini merupakan panduan yang komprehensif dan strategik, bertujuan untuk membawa UiTM Cawangan Perlis ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
Hasrat dan fokus UiTM Cawangan Perlis dalam mewujudkan rangka tindakan ini adalah untuk memastikan peningkatan berterusan dalam kualiti kemudahan dan infrastruktur kampus, dengan matlamat akhir mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyokong kecemerlangan akademik serta pembangunan holistik pelajar.
Tambah beliau,
Marilah kita bersama-sama melangkah ke hadapan dengan semangat dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang.
“Saya yakin, dengan kesatuan dan kerja keras kita semua, UiTM Cawangan Perlis akan terus berkembang maju dan menjadi sebuah pusat kecemerlangan pendidikan yang unggul di rantau ini.
Majlis Pelancaran Rangka Tindakan sebegini dilihat bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan, SDG 4, iaitu Pendidikan Berkualiti, yang memfokuskan kepada peningkatan infrastruktur bagi pengajaran dan pembelajaran dan SDG 9 yang memfokuskan kepada pembinaan infrastruktur yang berdaya tahan dan menggalakkan perindustrian yang mampan dan memupuk inovasi.

Majlis ini turut hadiri oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc., barisan Pengurusan Kanan UiTM, mantan-mantan Rektor dan Ketua-Ketua Agensi Negeri Perlis.
“Semoga segala perancangan dan pelaksanaan pelan pembangunan ini dipermudahkan oleh Allah SWT demi menjamin kebajikan dan keselesaan agar boleh dinikmati oleh warga UiTM Cawangan Perlis khasnya”, ujar Prof. Datuk Naib Canselor ketika ditemu bual.
Pada akhir majlis, Prof. Datuk Naib Canselor turut berkesempatan menyampaikan cenderamata kepada DYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis sebagai tanda setinggi penghargaan kepada baginda yang sentiasa menyokong program dan mendukung pelan pembangunan UiTM khususnya UiTM Cawangan Perlis.
