Diterbitkan pada 19 Ogos 2024, 18:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – 2024 8th Martial Arts Open School in Malaysia (2024 8th MAOSM) anjuran UNESCO ICM dan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) telah berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos 2024. Program ini merupakan susulan hasil persetujuan menandatangani Surat Niat (LOI) yang telah dimeterai pada awal tahun 2024, iaitu melibatkan kerjasama strategik antara Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan SK Seksyen 9, Shah Alam.

Kunjungan istimewa oleh wakil International Centre of Martial Arts for Youth Development and Engagement yang bernaung di bawah United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO ICM) iaitu, Setiausaha Agung UNESCO ICM, Encik Kim Giujig, Encik Cho Sungsik dan Cik Kom Keiji turut memeriahkan majlis.

Program ini diadakan tepat pada masanya sempena menyahut seruan kelestarian dan memenuhi matlamat UNESCO Antarabangsa berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan Pendidikan Berkualiti (SDG 4) menerusi Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17).

Menurut pengasas AIRBORNE, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Mohamed Shapie selaku ketua projek,

“Program ini menyumbang secara signifikan kepada matlamat UNESCO menerusi perkongsian bersama dalam mempromosikan pembangunan belia dan pertukaran budaya melalui pendidikan seni mempertahankan diri secara konsisten”.

Bagi pihak UNESCO ICM, Encik Kim Giujig amat berpuas hati dengan program yang telah berlangsung di SK Seksyen 9, Shah Alam. Malah, SDG ternyata memberikan kesan yang sangat positif terhadap Sekolah Terbuka Seni Mempertahankan Diri di Malaysia.

Seni mempertahankan diri sewajarnya didedahkan pada peringkat awal kanak-kanak lagi.

Program ini juga adalah selari dengan tema kedua RMK12, iaitu Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti. Menerusi aktiviti seni mempertahankan diri,  usaha pencegahan jenayah, rehabilitasi dan kesiapsiagaan dalam menghadapi kecemasan dapat dipertingkatkan.

Sebahagian daripada aksi silat oleh pelajar yang dipertontonkan kepada khalayak.

Pengisian program yang padat meliputi Bengkel Seni Silat Malaysia yang diadakan di Dewan Sinar, SK Seksyen 9, Shah Alam Selangor. Manakala, Perkongsian Ilmu pula bertempat di DK1, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA yang menutup tirai program secara rasminya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi