Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya– “Silat ialah sukan mempertahankan diri yang bagus, membentuk disiplin dan jati diri, kesihatan mental dan emosi serta wajar dipertahankan sebagai lambang warisan bangsa Melayu”.
Demikian kata-kata oleh YABhg. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang diiringi oleh suami, iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika hadir memeriahkan Kejohanan Silat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Piala Merdeka 2024 (KSKJAPM 2024) yang telah berlangsung dari 24 hingga 25 Ogos 2024 di D’Pulze Shopping Centre Cyberjaya.
Penganjur utama kejohanan ini terdiri daripada Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) bersama-sama D’Pulze Shopping Centre, dengan sokongan Persekutuan Silat Olahraga Nasional (PESONA), World Silat Federation (WSF) serta Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebanyak dua acara silat dipertandingkan dalam kejohanan ini, iaitu silat tempur dan silat olahraga. Di samping itu, dua kategori peserta yang terlibat ialah kategori Putra dan Putri bagi kategori umur Bawah 9, Bawah 12, Bawah 15, Bawah 18 dan Dewasa.
Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie, mantan Timbalan Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, FSR UiTM menyatakan bahawa UNESCO, ICM dan PSFGM telah bekerjasama rapat dalam menjayakan sirkit 2024 8th Martial Art Open School in Malaysia (8th MAOSM) yang berlangsung selama tiga bulan dan berakhir pada hari ini.

Selaku Penaung PSGFM, YB Datuk Abdul Rashid Asari telah hadir merasmikan majlis pembukaan kejohanan pada hari pertama diikuti dengan Majlis Penutupan Program 2024 8th Martial Art Open School in Malaysia (8th MAOSM), manakala majlis penutup KSKJAPM 2024 telah disempurnakan oleh Dekan FSR, YM Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin.