Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangUsaha membina tamadun bangsa mestilah bermula daripada penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi. Tamadun boleh difahami sebagai keadaan hidup masyarakat yang semakin terkedepan dengan kemajuan dari segi kebendaan dan perkembangan pemikiran yang selari dengan peralihan masa dan zaman.
Peradaban tamadun bangsa dapat dibentuk ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan hidup dengan mendapatkan pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi. Pendidikan menjadi asas penting bagi membina kemajuan agar akal budi masyarakatnya boleh dididik menjadi hebat, seimbang dan cemerlang.
Ciri orang yang bertamadun dan mempunyai peradaban tinggi adalah orang yang rajin menimba ilmu serta kemahiran baharu. Sistem pendidikan di negara ini yang lengkap terdiri daripada prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi sudah menjadi asas terbaik yang wajar diteruskan bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Selain penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), kaedah pengajaran menggunakan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) perlu dikembangkan agar seiring dengan perubahan semasa.
Oleh hal yang demikian, usaha yang berterusan bagi melahirkan warganegara Malaysia yang bertamadun tinggi perlu digiatkan secara holistik dengan berpegang kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perkara ini akan membentuk kecintaan terhadap ilmu dan nilai-nilai murni agar dapat membangun sebuah ikatan bangsa yang berpendidikan tinggi, beradab sopan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.
Sebagai seorang manusia, kehidupan ini sememangnya tidak dapat lari daripada fitrah menuntut ilmu. Sejak zaman prasejarah lagi, tamadun sudah wujud dan perkembangannya yang merangkumi petempatan, perbandaran, pembentukan organisasi sosial, pegangan agama dan kepercayaan yang lurus. Semuanya bertitik tolak daripada perkembangan ilmu yang akhirnya akan memandu manusia ke arah mencapai kemajuan dan ketamadunan. Melalui hal ini, ternyata pendidikan yang seiring dengan masa dan zaman mampu memacu generasi yang berkemahiran tinggi.
Di samping itu, ilmu mengenai pertahanan negara perlu ditingkatkan bagi membina tamadun bangsa yang kuat. Keanggotaan barisan hadapan seperti polis, tentera dan bomba wajar diperkasakan agar keselamatan negara lebih terjamin. Perkara ini menjadi penentu bagi menjadikan sebuah tamadun bangsa yang ampuh dan kukuh kerana penguasaan ilmu pertahanan membolehkan sesebuah negara melindungi sempadannya daripada ancaman luar seperti serangan ketenteraan, pencerobohan, atau pengaruh asing yang tidak diingini. Sistem pertahanan yang kukuh juga memastikan kestabilan dalam negara dengan mencegah konflik dalaman seperti pemberontakan atau perpecahan kaum. Oleh hal yang demikian, kedaulatan negara akan lebih terjamin dan memberikan ruang kepada seluruh rakyatnya untuk membangunkan tamadun tanpa gangguan.
Pada masa yang sama, ilmu dalam kebahasaan dan kesusasteraan perlu ditingkatkan sejajar dengan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang diguna pakai di Malaysia. Bahasa ialah lambang identiti sesebuah bangsa, manakala sastera mencerminkan jiwa dan pemikiran masyarakat. Penguasaan dalam dua ilmu ini dapat memperkukuh jati diri rakyat dan membina bangsa yang bangga dengan warisan mereka. Oleh itu, masyarakat sewajarnya mengagungkan bahasa dan sastera ibunda dengan mengamalkannya dalam kehidupan seharian dan dalam media baharu agar masyarakat secara umumnya khususnya orang luar, dapat melihat dan mengenal pasti identiti ketamadunan negara ini menerusi aspek bahasa dan sasteranya yang agung.
Selain itu, bidang penguasaan dalam ilmu kesenian juga menjadi satu daripada tanda kemajuan bangsa. Seni mempunyai pelbagai lapangan, Antaranya termasuklah muzik, tarian, seni bina, seni ukir dan seni lukis. Penghargaan terhadap seni mampu mendidik dan membina bangsa yang berjiwa halus dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan karya. Tambahan lagi, perasaan dan emosi manusia yang cinta akan seni dan keindahan dapat dibangunkan ke arah semangat kuat bekerja dan tekun melaksanakan perkara yang baik, sekali gus membina tamadun bangsa yang hebat dan tinggi dengan nilai patriotisme.
Kekuatan sesuatu bangsa banyak bergantung pada penguasaan ilmu ekonomi yang dapat memacu semua bidang lain seperti pendidikan, sosial dan politik. Kemajuan ekonomi dapat dijana menerusi penguasaan teknologi, koperasi, penternakan dan pertanian moden dan kemahiran perdagangan antarabangsa. Penguasaan ilmu ekonomi membolehkan sesebuah negara menguruskan sumber secara cekap dan berkesan. Hal ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan. Apabila kemakmuran dicapai, rakyat dapat menyumbang lebih banyak dalam aspek pembangunan tamadun.
Sesungguhnya, setiap individu perlu berusaha ke arah membangunkan tamadun bangsa. Pendidikan merupakan asas utama dalam membina tamadun bangsa yang cemerlang dan berdaya saing. Melalui pendidikan, individu dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk memacu pembangunan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi dan sosial. Selain itu, pendidikan juga memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni seperti perpaduan, toleransi dan patriotisme yang menjadi tunjang kepada keharmonian bangsa. Dengan pendidikan yang berkualiti dan inklusif, sesebuah negara dapat mencorakkan kemajuan yang berterusan, sekali gus mampu membina tamadun bangsa yang dihormati pada peringkat global.