Diterbitkan pada 18 Mac 2025, 08:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sistem pendidikan di Malaysia menyediakan pelbagai pilihan kepada murid untuk mendapatkan pembelajaran yang berkualiti, sama ada di sekolah berasrama atau di sekolah harian. Sekolah berasrama, khususnya sekolah berasrama penuh (SBP) sering menjadi pilihan murid yang ingin menikmati suasana pembelajaran yang lebih berfokus dan berdisiplin.

Penubuhan 72 buah SBP di seluruh negara, antaranya termasuklah sekolah berprestij seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tun Fatimah (STF) dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), menunjukkan bahawa institusi ini bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga membentuk sahsiah dan kepimpinan mereka.

Sebaliknya, sekolah harian pula menjadi pilihan utama bagi kebanyakan murid kerana mereka dapat pulang ke rumah pada setiap hari dan menikmati hubungan kekeluargaan. Murid yang belajar di sekolah harian mempunyai kebebasan dalam mengatur jadual mereka sendiri, memberikan keseimbangan antara akademik, aktiviti kokurikulum dengan kehidupan peribadi. Setiap sistem ini mempunyai keunikan tersendiri, membentuk pengalaman berbeza bagi murid dalam aspek akademik, sosial dan perkembangan kendiri mereka. Ada yang lebih selesa dengan persekitaran asrama yang penuh disiplin, manakala ada juga yang lebih menghargai fleksibiliti kehidupan sebagai murid sekolah harian.

Murid yang tinggal di asrama biasanya terikat dengan jadual harian yang lebih ketat. Waktu mereka diatur dengan rapi, bermula dari bangun pagi, solat berjemaah, makan, menghadiri kelas, mengulang kaji pelajaran, hingga waktu tidur. Misalnya, di sekolah berasrama penuh seperti di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), murid wajib mengikuti jadual belajar malam yang dikenali sebagai prep untuk memastikan mereka mengulang kaji pelajaran secara konsisten.

Mereka kurang kebebasan dalam menentukan aktiviti harian tetapi keadaan ini melatih mereka menjadi lebih berdisiplin dan cekap dalam mengurus masa. Sebaliknya, murid sekolah harian mempunyai lebih banyak kebebasan selepas tamat sesi persekolahan. Mereka boleh memilih untuk mengulang kaji, berehat atau terlibat dalam aktiviti luar mengikut keperluan dan keutamaan masing-masing. Sebagai contoh, seorang murid sekolah harian boleh menghadiri kelas tuisyen pada waktu petang atau mengikuti latihan sukan di luar sekolah tanpa sekatan masa tertentu.

Dalam aspek pergaulan, murid asrama lebih cenderung untuk membina hubungan yang erat dengan rakan sebaya kerana mereka tinggal bersama-sama hampir sepanjang masa. Perkongsian suka dan duka bersama-sama dengan rakan menjadikan mereka lebih memahami nilai persahabatan dan toleransi. Sebagai contoh, murid di asrama sering bekerjasama dalam aktiviti seperti gotong-royong membersihkan bilik asrama atau menyertai program pembinaan pasukan (team building) seperti perkhemahan.

Namun begitu, mereka mungkin kurang mendapat interaksi dengan keluarga kerana hanya pulang ke rumah pada hujung minggu atau musim cuti. Sebaliknya, murid di sekolah harian lebih banyak berinteraksi dengan ahli keluarga pada setiap hari dan membolehkan mereka mendapat bimbingan langsung daripada ibu bapa. Hubungan yang rapat ini memberikan kesan positif terhadap perkembangan emosi dan sokongan moral mereka. Sebagai contoh, seorang murid sekolah harian boleh berbincang terus dengan ibu bapa mengenai masalah akademik atau peribadi selepas pulang dari sekolah, sesuatu yang lebih sukar dilakukan oleh murid asrama.

Dari segi tahap kendiri, murid yang tinggal di asrama lebih berdikari kerana mereka perlu mengurus diri sendiri tanpa bantuan ibu bapa. Mereka belajar mengendalikan tugas harian seperti mencuci pakaian, mengurus kewangan dan menyelesaikan konflik sesama rakan. Seorang bekas pelajar SBP, iaitu Amirul, berkongsi pengalaman hidupnya di asrama yang telah menjadikannya lebih berdisiplin kerana setiap aktiviti mempunyai masa tertentu. Jika dia terlambat bangun, dia akan didenda atau dipotong markah demerit Sistem Rumah yang sememangnya menjadi teras di sekolah berasrama penuh. Namun begitu, pengalaman tersebut membantunya membentuk sikap yang lebih bertanggungjawab dan bijak mengurus masa apabila melangkah ke universiti. Begitu juga di kolej vokasional atau MRSM, murid diajar untuk mengatur perbelanjaan sendiri kerana ibu bapa tidak selalu ada untuk membantu mereka membeli barang keperluan. Pengalaman ini membentuk mereka menjadi individu yang lebih matang dan bertanggungjawab.

Sebaliknya, murid sekolah harian masih mendapat sokongan ibu bapa dalam banyak aspek kehidupan, seperti penyediaan makanan, keperluan sekolah dan pengangkutan. Sebagai contoh, murid sekolah harian mungkin dihantar ke sekolah oleh ibu bapa pada setiap hari dan diberikan wang belanja tanpa perlu risau tentang pengurusan kewangan sendiri. Walaupun keadaan ini memberikan keselesaan, namun  mungkin menjadikan mereka lebih bergantung kepada ibu bapa dalam hal-hal tertentu. Murid sekolah harian juga  mempunyai lebih banyak kebebasan.

Sebagai contoh, selepas tamat sesi persekolahan, mereka boleh memilih untuk mengulang kaji, berehat atau terlibat dalam aktiviti luar mengikut keperluan dan keutamaan masing-masing. Seorang murid sekolah harian boleh menghadiri kelas tuisyen pada waktu petang atau mengikuti latihan sukan di luar sekolah tanpa sekatan masa tertentu. Namun begitu, cabaran utama bagi murid sekolah harian ialah keperluan untuk membahagikan masa sendiri tanpa pengawasan guru atau warden. Seorang murid sekolah harian, Aina, mengakui bahawa dia sering terganggu dengan telefon bimbit dan media sosial apabila belajar di rumah. Hal ini menunjukkan bahawa kebebasan boleh menjadi kelebihan atau cabaran, bergantung pada tahap disiplin murid itu sendiri.

Dalam hal akademik, murid di sekolah berasrama sering mendapat lebih banyak masa untuk belajar dalam suasana yang terancang. Mereka mempunyai akses kepada kelas tambahan, bimbingan guru dan sesi ulang kaji berkumpulan yang membantu meningkatkan pemahaman mereka terhadap pelajaran. Sebagai contoh, murid di SBP sering mengadakan sesi belajar berkumpulan pada waktu malam untuk mengukuhkan pemahaman dalam subjek seperti Matematik Tambahan dan Fizik. Faktor ini memberikan kelebihan kepada mereka dalam menghadapi peperiksaan. Sebaliknya, murid sekolah harian perlu lebih berdikari dalam mengatur sesi pembelajaran mereka di rumah. Persekitaran di rumah yang mungkin kurang kondusif serta gangguan luar boleh memberikan kesan terhadap prestasi akademik mereka jika tidak diurus dengan baik. Contohnya, seorang murid sekolah harian yang tinggal di kawasan bandar mungkin menghadapi cabaran seperti bunyi bising atau gangguan televisyen ketika cuba mengulang kaji pelajaran di rumah.

Selain itu, pelibatan dalam aktiviti kokurikulum juga berbeza antara murid sekolah berasrama dengan sekolah harian. Murid sekolah berasrama lebih berpeluang untuk aktif dalam pelbagai kelab, sukan dan persatuan kerana mereka berada dalam lingkungan sekolah pada sepanjang masa. Mereka lebih mudah menghadiri latihan atau mesyuarat tanpa kekangan masa. Sebagai contoh, murid di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil dapat menjalani latihan intensif dalam bidang sukan seperti bola sepak dan renang tanpa perlu risau tentang perjalanan pulang ke rumah. Murid sekolah harian pula perlu membahagikan masa antara aktiviti sekolah dengan kehidupan di rumah, Hal ini menjadikan pelibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum lebih terhad berbanding dengan murid yang tinggal di asrama. Contohnya, seorang murid sekolah harian yang ingin menyertai pasukan debat mungkin sukar menghadiri sesi latihan jika mempunyai tanggungjawab lain di rumah seperti menjaga adik atau membantu ibu bapa.

Secara keseluruhannya, kehidupan di asrama dan sekolah harian mempunyai keistimewaan dan cabaran tersendiri. Murid sekolah berasrama diasah menjadi lebih berdisiplin, berdikari dan berpeluang mengembangkan potensi akademik serta kokurikulum dengan lebih luas. Sebaliknya, murid sekolah harian dapat menikmati kelebihan bersama-sama dengan keluarga dan kebebasan mengurus jadual sendiri, namun mereka perlu bijak membahagikan masa agar tidak terleka. Perkara ini sinonim dengan peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, tidak kira sama ada di sekolah berasrama atau di sekolah harian, setiap murid perlu mempunyai hala tuju yang jelas untuk mencapai kejayaan.

Keberadaan di asrama, sekiranya tidak dimanfaatkan, bukan sahaja merugikan diri sendiri, bahkan membazirkan perbelanjaan keluarga. Begitu juga bagi murid sekolah harian, kejayaan yang ditempa pastinya lebih bererti apabila mampu mengatasi cabaran yang wujud dalam persekitaran mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi