Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBerpuasa pada bulan Ramadan merupakan kewajipan bagi semua penganut agama Islam. Perkara ketiga dalam rukun Islam ini sering ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia disebabkan bulan ini merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Namun begitu, terdapat beberapa kelonggaran berpuasa yang diberikan kepada golongan tertentu seperti orang tua yang tidak mampu berpuasa, orang yang menghidap penyakit kronik yang memudaratkan sekiranya dia berpuasa serta wanita hamil dan yang menyusukan anak kerana khuatir akan keselamatan bayinya jika dia berpuasa.
Golongan atlet juga tidak terkecuali daripada menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Atlet profesional seperti pemain bola sepak, olahraga dan badminton tetap wajib berpuasa seperti orang lain dengan mengubah rutin harian mereka untuk disesuaikan dengan jadual latihan dan pola pemakanan.
Sukan bola sepak terus menjadi sukan yang sering mendapat perhatian umum ketika bulan Ramadan. Hal ini demikian kerana pertandingan bola sepak pada peringkat liga profesional yang dianjurkan oleh persatuan bola sepak negara masing-masing mahupun kejohanan bola sepak antarabangsa yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) seperti Piala Dunia FIFA, tetap berlangsung sepanjang tahun walaupun semasa bulan Ramadan.
Badan yang menguruskan liga-liga profesional bola sepak di dunia terutamanya di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (England), Serie A (Itali), La Liga (Sepanyol) dan Bundesliga (Jerman) sangat memahami dan bertolak ansur dalam memberikan ruang kepada para pemain bola sepak yang beragama Islam untuk berpuasa pada bulan Ramadan. Peluang itu diberikan kepada para pemain untuk berbuka puasa ketika sesuatu perlawanan bola sepak sedang berlangsung. Namun begitu, kebebasan masih diberikan kepada pihak kelab bola sepak dan pemain itu sendiri sama ada untuk memilih berpuasa atau tidak berpuasa ketika perlawanan sedang berlangsung. Hal ini disebabkan oelh sesetengah pengurusan kelab bola sepak khuatir akan prestasi pemain yang tidak dapat menonjolkan permainan yang terbaik ketika beraksi di atas padang apabila pemain tersebut sedang berpuasa.
Walau bagaimanapun, perkara itu dapat disangkal oleh para pemain sendiri apabila mereka berjaya memberikan mutu permainan yang terbaik di atas padang. Antara pemain tersebut termasuklah Mohamad Salah dan Sado Mane daripada pasukan Liverpool, N’Golo Kante daripada pasukan Chelsea dan Karim Benzema daripada pasukan Real Madrid. Mereka telah mempamerkan aksi yang cemerlang untuk kelab bola sepak masing-masing. Malahan, Karim Benzema berjaya membawa Real Madrid ke perlawanan akhir ketika sedang berpuasa sehingga mampu menyumbangkan jaringan hatrik ketika bertemu dengan Chelsea pada peringkat 16 terbaik kejohanan itu pada tahun 2022.
Namun begitu, terdapat beberapa buah liga bola sepak di Eropah yang tidak memberikan kelonggaran kepada para pemain yang berpuasa untuk berbuka puasa dalam perlawanan bola sepak. Liga bola sepak Perancis atau lebih dikenali sebagai Ligue 1 tidak membenarkan pengadil memberhentikan perlawanan untuk memberikan ruang kepada pemain yang beragama Islam untuk berbuka puasa. Tindakan pengurusan Ligue 1 ini mendapat tentangan hebat oleh komuniti Islam di Perancis.
Hal ini bertambah buruk apabila pada bulan Mac 2024, pengurusan pasukan kebangsaan Perancis sendiri turut tidak membenarkan para pemain Perancis yang terpilih untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Jerman dan Chile berpuasa pada perlawanan tersebut. Pemain seperti Ousmane Dembele dan Ibrahima Konate dinasihatkan agar menggantikan puasa pada hari lain. Tindakan ini merupakan suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku kerana pasukan kebangsaan sendiri tidak memberikan kerjasama untuk bertolak ansur dengan perkara yang melibatkan kepercayaan dan agama yang dianuti oleh pemain mereka. Seharusnya, mereka meletakkan kepercayaan pada kebolehan pemain mereka yang berpuasa kerana sejarah telah membuktikan bahawa ada pasukan kebangsaan yang berjaya memberikan saingan sengit kepada pihak lawan dalam kejohanan bola sepak yang berprofil tinggi.
Dalam kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA pada tahun 2014 yang berlangsung di Brazil, beberapa perlawanan peringkat 16 terbaik dijalankan pada awal Ramadan. Pasukan Algeria menjadi satu-satunya pasukan negara Islam yang berjaya melepasi peringkat kumpulan dan dijadualkan bertemu dengan pasukan Jerman pada peringkat tersebut. Hampir kesemua pemain Algeria berpuasa ketika perlawanan berlangsung dan mereka berbuka puasa setelah matahari terbenam. Pasukan Algeria berjaya memberikan tentangan sengit kepada pasukan Jerman dan mengheret juara dunia edisi 2014 itu ke pusingan tambahan setelah tamat 90 minit masa sebenar. Walaupun Jerman berjaya menewaskan Algeria menerusi jaringan 2-1, ironinya gol kemenangan Jerman itu dijaringkan oleh pemain beragama Islam berketurunan Turkiye, iaitu Mesut Ozil dalam minit ke-120 pada minit terakhir masa tambahan.
Saingan hebat yang diberikan oleh pemain Algeria yang sedang berpuasa ketika perlawanan menentang juara dunia itu wajar diberikan pujian sementelah cuaca di Brazil pada ketika itu cukup panas dan lembap yang mampu mengganggu prestasi pemain bola sepak. Bacaan suhu yang pernah direkodkan ketika kejohanan itu berlangsung pernah melebihi 32°C pada waktu siang. Malah, terdapat beberapa perlawanan yang diberikan tempoh berehat atau dipanggil cooling break untuk memberikan peluang kepada para pemain meneguk air setelah masa perlawanan baru sahaja berlangsung selama 30 minit pada separuh masa pertama dan pada minit ke-75 pada separuh masa kedua.
Di negara-negara Islam, kebanyakan liga bola sepak berjalan seperti biasa dalam bulan Ramadan. Negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar melangsungkan perlawanan bola sepak agak lewat, iaitu sekitar pukul 10 malam selepas beberapa jam waktu berbuka puasa.
Liga bola sepak Malaysia juga dijalankan dalam bulan Ramadan dan biasanya bermula dalam pukul 10 malam. Sebelum ini, semua perlawanan bola sepak Liga Malaysia dihentikan dalam bulan Ramadan. Bermula tahun 2015, perlawanan bola sepak baik Liga Super mahupun Liga Perdana turut dilaksanakan pada bulan Ramadan. Pendekatan ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kepadatan jadual liga saban tahun, selain memberikan ruang kepada para pemain yang terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia melakukan persiapan sebelum menghadapi perlawanan persahabatan dan mana-mana kejohanan antarabangsa.
Rata-rata kelab bola sepak Malaysia akan mengubah jadual latihan pemain dalam bulan Ramadan. Pemain akan berlatih pada sebelah malam setelah waktu berbuka puasa. Ada juga latihan dilakukan setelah waktu solat tarawih dan berlanjutan sehingga waktu sahur.
Sesungguhnya, kehadiran bulan Ramadan memberikan seribu satu keberkatan kepada umat Islam. Peluang meningkatkan ibadah dalam bulan yang mulia ini tidak akan dilepaskan oleh para pemain bola sepak di serata dunia. Hal ini ternyata boleh memberikan cabaran kepada mereka untuk mengekalkan kecergasan dan prestasi di atas padang. Namun begitu, sebagai umat Islam, kedatangan bulan Ramadan pastinya memberikan peluang istimewa untuk pemain yang beragama Islam menonjolkan kemampuan terbaik mereka dalam berasimilasi dengan apa-apa jua keadaan selagi berada dalam landasan syarak.