Malaysia telah mengadakan Istiadat Pengebumian Negara bagi mengenang dan menghormati pemergian Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang meninggal dunia pada 14 April 2025 di Institut Jantung Negara pada usia 86 tahun.
Orang ramai termasuk pemimpin negara dan orang kenamaan turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di ruangan solat utama Masjid Negara.
Lebih 3,000 hadirin termasuk pemimpin negara seperti Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof serta empat mantan Perdana Menteri, iaitu YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad; YABhg. Dato’ Seri Najib Razak; YABhg. Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin dan YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut hadir memberikan penghormatan terakhir.
Isteri kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, YABhg. Tun Jeanne Abdullah (tengah) semasa istiadat pengebumian suaminya di Makam Pahlawan, Masjid Negara.Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa istiadat pengebumian di ruang solat utama Masjid Negara.
Allahyarham Tun Abdullah yang mesra disapa dan dikenali sebagai “Pak Lah,” telah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009 bagi menggantikan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyerahkan tampuk pemerintahan dalam pelan peralihan kuasa.
Allahyarham merupakan pemimpin yang berpengalaman luas dalam pelbagai lapangan sama ada dalam pentadbiran kerajaan, mahupun dalam bidang politik. Pendekatan sederhana dalam pentadbiran beliau dalam memperkenalkan konsep Islam Hadhari yang mengutamakan aspek pembangunan modal insan diterima oleh pelbagai pihak sejurus selepas beliau mengambil alih tampuk kuasa daripada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) bersama-sama dengan menantu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, iaitu mantan Menteri Kesihatan, YB Tuan Khairy Jamaluddin (kanan) membaca doa ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima itu dalam istiadat pengebumian di Masjid Negara.Perdana Menteri Keempat, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam istiadat pengebumian di Masjid Negara.Mantan Perdana Menteri, YABhg. Dato’ Seri Najib Razak kelihatan sebak sambil diiringi oleh pegawai penjara ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara.Mantan Perdana Menteri Kesembilan, YBhg. Dato’ Sri Ismail Yaakob ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Istiadat Pengebumian Negara di Masjid Negara.Keranda Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dibaluti oleh Jalur Gemilang diusung oleh anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Dewan Solat Utama ke Makam Pahlawan untuk disemadikan.
Demikianlah sebahagian daripada rakaman kenangan yang dapat dikongsikan bersama-sama dengan pelayar JendelaDBP semasa Istiadat Pengebumian Negara pemakaman Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.