Oleh M. NAJWAN
Diterbitkan pada 18 April 2025, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pembelajaran merupakan proses untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dapat dicapai melalui kaedah yang pelbagai seperti pengalaman, kajian atau pengajaran. Pembelajaran juga dapat diertikan sebagai suatu proses yang menjadikan pengalaman memainkan peranan besar dalam pengetahuan serta tingkah laku seseorang secara kekal.

Gagne (seperti yang dinyatakan dalam Destika, 2021) telah menyenaraikan lima jenis kelas pembelajaran yang utama, iaitu kemahiran intelek, informasi verbal, perencanaan kognitif, kemahiran psikomotor dan sikap. Hal ini menunjukkan bahawa proses pembelajaran bukan hanya melibatkan aspek mental bahkan aspek emosi, fizikal dan sosial turut memainkan peranan sepanjang proses ini berlaku.

Pembelajaran merupakan proses yang signifikan dalam kehidupan bagi memastikan perkembangan ilmu pengetahuan terus berlaku. Oleh itu, guru sebagai pihak yang berautoriti dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah hendaklah mengaplikasikan teori pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap murid bagi memastikan proses pembelajaran berlaku secara efektif dan berkesan.

Model Gaya Pembelajaran Honey & Mumford menegaskan bahawa pembelajaran terjadi apabila individu berupaya memperlihatkan sesuatu yang baharu, sama ada dalam bentuk kesedaran, pemahaman atau kemahiran. Melalui Model Gaya Pembelajaran Honey dan Mumford, seseorang individu mampu mengenal pasti pilihan pembelajaran mereka sendiri dan menggunakan informasi tersebut untuk meningkatkan pembelajaran mereka.

Oleh itu, seseorang individu mampu mengesan kaedah yang bersesuaian untuk belajar serta mengembangkan diri dengan lebih efektif. Seterusnya, Honey dan Mumford mengertikan gaya pembelajaran sebagai penjelasan ke atas sikap dan tingkah laku seseorang yang mengamalkannya. Henry dan Mumford telah mengklasifikasikan gaya pembelajaran kepada empat kategori utama, iaitu aktivis, reflektif, teoris dan pragmatis.

Teori Pembelajaran Konstruktivisme yang dipelopori oleh Jean Piaget telah menekankan perihal proses pembinaan pengetahuan oleh individu melalui interaksi dengan persekitaran. Piaget turut berpandangan bahawa pendidikan harus memfokuskan pemahaman tentang peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak. Oleh hal yang demikian, guru sewajarnya menguasai serta memahami skema kognitif para pelajar serta menyediakan pengalaman pembelajaran yang bersesuaian dengan peringkat perkembangan mereka. Pembelajaran juga harus dilaksanakan secara aktif dan melibatkan pelajar dalam pengalaman langsung dengan dunia sebenar serta memberikan peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan mereka sendiri.

Melalui pengaplikasian teori konstruktivisme, pelajar berupaya mencipta sesuatu makna daripada perkara yang dipelajari. Proses konstruktivisme terjadi apabila informasi baharu diterima dan disesuaikan oleh murid dan menjadi sebahagian daripada pegangan yang kukuh. Hal ini selari dengan pendapat Mahmud (2011) yang mengatakan bahawa konstruktivisme merupakan keupayaan individu untuk membentuk pengetahuan melalui pelbagai kegiatan dan aktiviti yang dilakukan tanpa melibatkan proses pengajaran secara pasif. Hal ini menunjukkan bahawa Konstruktivisme mampu mendorong murid menjadi lebih yakin dalam meningkatkan kemahiran sosial, kemahiran berfikir dan melahirkan perasaan gembira melalui penerokaan terhadap aktiviti yang dilakukan.

Dalam konteks pendidikan pada masa ini, pengaplikasian teori konstruktivisme dalam pendidikan merupakan satu inovasi mengenai gaya pengajaran dan pembelajaran. Konstruktivisme menekankan pelibatan aktif murid manakala guru memainkan peranan sebagai moderator atau fasilitator dalam proses pembelajaran.

Antara kelebihan pengaplikasian teori ini termasuklah pelajar diberikan peluang untuk menimba ilmu pengetahuan secara aktif. Pengaplikasian teori ini dilihat selaras dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK 21) yang menekankan pembelajaran berpusatkan kepada murid dengan penerapan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti, aplikasi nilai murni dan etika.

Dalam teori konstruktivisme, guru berperanan sebagai pembimbing untuk memastikan murid berfikir dan berusaha untuk membina pengetahuan secara aktif. Sebagai contoh, dalam konteks pembelajaran sejarah, murid ditugaskan untuk menyelesaikan tugasan teka silang kata berkaitan dengan nama Perdana Menteri Malaysia dengan usahanya sendiri melalui hubungan sosial bersama-sama dengan rakan secara berkumpulan.

Berdasarkan Model Gaya Pembelajaran Honey dan Mumford, aktiviti ini bersesuaian dengan pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran aktivis kerana pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran ini cenderung untuk mencuba sesuatu yang baharu sepanjang proses pembelajaran berlangsung. Aktiviti teka silang kata dapat membentuk interaksi sosial sesama pelajar.

Melalui interaksi sosial secara berkumpulan ini, pelajar diberikan pendedahan mengenai cara untuk belajar dengan mengakomodasi informasi dan pengetahuan untuk membentuk pemahaman yang menyeluruh dan kukuh. Aktiviti teka silang kata berkaitan dengan nama Perdana Menteri Malaysia ini juga bersesuaian dengan pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran aktivis kerana aktiviti ini berbentuk pembelajaran amali yang mendorong pelajar menggunakan anggota fizikal untuk menyiapkan lembaran kerja.

Setelah pelajar selesai melaksanakan tugasan yang diberikan, guru sewajarnya memberikan maklum balas secara langsung berdasarkan hasil kerja pelajar tersebut. Hal ini bagi memastikan pelajar memperoleh pemahaman yang lebih kukuh melalui pengalaman langsung dan refleksi terhadap pengalaman tersebut. Jika dianalisis Model Pembelajaran Honey dan Mumford serta Teori Pembelajaran Konstruktivisme Jean Piaget, kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan, iaitu menekankan kepentingan pengalaman dalam pembelajaran serta menekankan peranan aktif pelajar dalam pembelajaran.

Pendekatan prinsip konstruktivisme yang digunakan dalam pembelajaran sejarah berupaya meningkatkaan pencapaian pelajar. Sebagai contoh, lawatan sambil belajar ke Kota A Famosa, Melaka, boleh diadakan bagi memberikan gambaran kepada pelajar mengenai penjajahan Portugis ke atas Kota Melaka pada abad ke-16. Pendekatan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar daripada pengalaman dan persekitaran untuk membina makna terhadap penjajahan Portugis ke atas Kota Melaka. Jika diperhatikan, aktiviti ini bersesuaian dengan pelajar yang mengamalkan gaya pembelajaran pragmatis kerana mereka mementingkan bukti dan realiti yang dapat dilihat secara langsung. Impaknya, pelajar berupaya mengutarakan pendapat dan idea serta berfikiran secara kritis mengenai tajuk yang dipelajari.

Model Pembelajaran Honey dan Mumford serta Teori Pembelajaran Konstruktivisme Jean Piaget turut mempunyai beberapa perbezaan. Sebagai contoh, Model pembelajaran Honey dan Mumford menekankan kepentingan refleksi dan penilaian kendiri dalam pembelajaran, manakala Teori Pembelajaran Konstruktivisme Jean Piaget pula menekankan bahawa individu perlu membina pengetahuan melalui interaksi dengan persekitaran fizikal dan sosial. Selain itu, Model pembelajaran Honey dan Mumford juga menekankan peranan signifikan guru sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran, manakala Teori Pembelajaran Konstruktivisme Jean Piaget pula menekankan bahawa individu membina pengetahuan secara bebas. Kesimpulannya, Model Pembelajaran Honey dan Mumford serta Teori Pembelajaran Konstruktivisme Jean Piaget saling melengkapi dan sesuai untuk diaplikasikan bersama-sama untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Kedua-duanya berupaya membantu pelajar membina pengetahuan secara aktif, berfikiran secara kritis dan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang topik yang dipelajari.

Teori pembelajaran konstruktivisme yang dipelopori oleh Jean Piaget memfokuskan kepada pelibatan pelajar secara aktif dalam proses pembelajaran. Berdasarkan kefahaman ini, guru selaku fasilitator dan pembimbing hendaklah melaksanakan pembelajaran dengan menggalakkan pelibatan pelajar secara aktif melalui kaedah perbincangan, kolaborasi, penemuan kendiri dan eksperimen. Melalui pelaksanaan kaedah yang pelbagai ini akan mendorong wujudnya interaksi sosial dalam kalangan pelajar serta meningkatkan keyakinan diri pelajar melalui penerokaan terhadap aktiviti yang pelbagai.

Selain itu, Piaget menekankan bahawa pembelajaran berlaku melalui inkuiri aktif oleh pelajar berdasarkan persekitaran di sekeliling mereka. Pelajar perlu berinteraksi dengan persekitaran secara langsung bagi membina pengetahuan dan pemahaman mereka. Oleh itu, guru haruslah memastikan persekitaran pelajar dihiasi dengan aura positif dan suasana yang menyeronokkan. Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan akan mempengaruhi emosi pelajar serta mengubah persepsi negatif mereka terhadap gaya pengajaran guru sehingga mempengaruhi ingatan prestasi mereka. Hal ini selaras dengan pendekatan prinsip Konstruktivisme yang menekankan pembelajaran yang seronok dan bermakna dalam kalangan pelajar.

Selain itu, pengaplikasian Teori Pembelajaran Konstruktivisme turut menekankan penghargaan terhadap pendapat pelajar serta aktiviti yang dijalankan di dalam kelas perlu mencabar minda pelajar. Oleh itu, guru perlu menggalakkan pelajar agar lebih yakin dan berkemahiran sosial serta seronok melaksanakan aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan. Kesannya, para pelajar akan berasa lebih yakin dan dihargai apabila guru memberikan peluang kepada pelajar untuk membina soalan yang kreatif. Pendekatan Konstruktivisme turut mampu meningkatkan kemahiran berfikir dan pencapaian akademik pelajar untuk mencapai kecemerlangan.

Pemahaman perihal proses pembelajaran amat signifikan dalam memastikan guru berupaya merancang kaedah pengajaran yang sesuai dengan keperluan serta kemampuan pelajar. Guru juga berupaya untuk mengukur tahap pemahaman pelajar dengan lebih efisien dan merancang aktiviti pembelajaran yang dapat membantu pelajar untuk mencapai objektif pembelajaran. Pelaksanaan Teori Pembelajaran Konstruktivisme berupaya memperkasakan pembelajaran dengan lebih efektif dan melahirkan murid yang kreatif dalam pembelajaran mereka.

Oleh itu, pengaplikasian teori pembelajaran yang tepat dapat membantu guru dalam memaksimumkan keberkesanan pembelajaran di dalam bilik darjah. Kegagalan dalam pengaplikasian teori pembelajaran yang sesuai akan mengakibatkan objektif pembelajaran dan aspirasi pendidikan gagal dicapai. Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan teori pembelajaran yang bersesuaian semasa proses pembelajaran menyumbang kepada kejayaan dan keberhasilan pembelajaran yang lebih baik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi