Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 18 Mei 2025, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam suatu kenyataan pada hari ini mengumumkan bahawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2024 boleh menyemak tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 pada Isnin, 19 Mei 2025.

Semakan tersebut boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau terus melalui sekolah asal masing-masing.

“Bagi murid yang tidak menerima tawaran (Tingkatan Enam), rayuan boleh dibuat mulai 19 Mei hingga 25 Mei 2025,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ujar KPM, keputusan rayuan berkenaan boleh disemak pada 3 Jun 2025 melalui kaedah yang sama.

Selain itu, mulai tahun ini, KPM juga akan melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam melalui kerjasama silang bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Program ini akan dilaksanakan secara rintis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan menawarkan dua bidang pengajian, iaitu Sains dan Sains Sosial.

Sehubungan dengan itu, pelajar lepasan SPM bagi tahun 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat yang ditetapkan, boleh membuat permohonan untuk kemasukan ke Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam mulai 19 Mei hingga 25 Mei 2025.

Keputusan kemasukan ke program tersebut boleh disemak pada 3 Jun 2025 melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/.

“Semua murid yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun 2025,” jelas KPM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi