Diterbitkan pada 14 Jun 2026, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Perancangan pendidikan di negeri Perlis amat penting untuk diselaraskan dengan keperluan ekonomi semasa dan seharusnya diiktiraf sebagai satu bentuk pelaburan strategik demi masa hadapan negeri.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Behor Mempelam, baru-baru ini.

Menurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, tiga rangka tindakan utama yang perlu dipertimbangkan untuk memacu sektor pendidikan negeri, antaranya termasuklah pembangunan sekolah baharu mesti selari dengan pertumbuhan kawasan perumahan bagi menjamin hak pendidikan asas untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira status ekonomi; memperkasakan sektor pendidikan teknikal demi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu menyokong kerancakan fasa perindustrian negeri dan memperkasakan sistem pembelajaran praktikal seiring dengan kecemerlangan akademik bagi melahirkan graduan holistik yang bersedia memenuhi kehendak pasaran kerja.

Titah baginda lagi, pembangunan ekonomi dan industri Perlis yang mampan hanya akan tercapai melalui penyertaan menyeluruh rakyatnya dalam ekosistem pendidikan yang inklusif.

Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan secara berkala ini merupakan satu daripada inisiatif berterusan MAIPs dalam menyantuni masyarakat setempat. Melalui pendekatan turun padang ini, pihak MAIPs dapat meninjau sendiri keadaan hidup golongan asnaf di samping menyampaikan bantuan secara terus.

Pada edisi kali ini, sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga selaku Yang Dipertua MAIPs kepada tiga penerima, iaitu Embun Mat, 71 tahun, dari Kampung Behor Mempelam, Saharudin Kamis, 63 tahun, dari Kampung Telaga Haji Latif, dan Zalina Lah, 56 tahun, yang berasal dari Tambun Tulang.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan memberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM700.00 seorang, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada penerima.

Setiap penerima membawa pulang sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM700.00 seorang, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memastikan kebajikan golongan asnaf sentiasa terbela, di samping memperkukuh hubungan antara institusi agama dengan masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat, mesra serta berkesan.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi