Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Garapan antara pendidikan dalam bidang sains, minat, dengan pengalaman menangani penerbitan buku teks sekolah rendah menjadi pencetus bagi karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berbakat besar, Encik Mohd Faizal Rus Rzerli untuk bergelar sebagai seorang penulis.
Pengalaman dalam kajian serangga di universiti mengilhamkan idea untuk beliau menghasilkan karya pertamanya, iaitu Cerita Lulu dan Lala.
“Saya menterjemahkan minat dan pengalaman dalam bentuk penulisan yang santai dan mudah difahami terutamanya oleh golongan kanak-kanak agar secara tidak langsung mereka akan turut cenderung untuk menerokai bidang sains yang sangat menarik.”

Demikian penjelasan Encik Mohd Faizal Rus Rzerli dalam program Bicara Karyawan DBP yang dimudahcarakan oleh Puan Nur Shamiera Zahid bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mengulas tentang cabaran dalam penghasilan Cerita Lulu dan Lala, beliau menjelaskan bahawa kekangan masa, proses penyesuaian laras bahasa kanak-kanak dan penghasilan ilustrasi merupakan antara cabaran utama yang perlu dihadapi olehnya untuk menyiapkan karya tersebut.
“Pengalaman menangani penerbitan buku teks di Bahagian Buku Sekolah DBP, selain bimbingan rakan editor yang lain sangat membantu saya dalam menyiapkan buku ini yang memakan masa kira-kira setahun,” ujar beliau.

Selain itu, beliau yang gemar membaca majalah Dewan Pelajar ketika bersekolah rendah menyatakan bahawa keluarga dan guru Bahasa Melayu beliaulah yang berperanan penting dalam memupuk sikap suka membaca. “Selain keluarga yang memberikan sokongan moral, saya sangat terinspirasi dan mengagumi cara guru berbahasa.”
Sementara itu, menjawab isu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan sesebuah karya kreatif, Encik Mohd Faizal Rus Rzerli menyatakan, “Penggunaan AI membolehkan penghasilan ilustrasi secara lebih pantas, manakala kekurangan AI dalam hal ini adalah mengurangkan daya kreatif seseorang pengkarya.”
Lebih menarik, selain Cerita Lulu dan Lala yang juga boleh didapati dalam format buku audio, Encik Mohd Faizal Rus Rzerli kini turut berbangga dengan karya kedua beliau yang berjudul Reka Cipta Mad dan Ani, di samping bakal menerbitkan karya terbaharunya yang berjudul Lazatnya Makanan Malaysia.

Sebelum mengakhiri bicaranya, beliau yang berimpian untuk menyertai Pesta Buku Kanak-kanak Bologna sempat menitipkan pesan terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak agar menyemai sikap suka membaca sejak awal kerana menurut beliau tanpa membaca, sukar untuk seseorang individu memperoleh ilmu dan bakal menyukarkan usaha untuk membina bangsa serta negara yang bertamadun.
Yang turut hadir ialah Ketua Editor, Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Harta Intelek DBP, Puan Norjanah Yusof dan Perancang Bahasa, Bahagian Harta Intelek DBP, Puan Mazfarina Marzuki.
