Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – “Buku telah membentuk saya sebagai seorang insan dan orang yang berjaya dalam hidup,” demikian tegas YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku panel undangan dalam Sesi Sembang Santai bertajuk “Ganti Gajet dengan Buku” yang berlangsung di pentas utama reruai DBP, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025.

Sesi bual bicara santai itu turut menampilkan YBrs. Dr. Muhaimin Sulam, yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP, sebagai panel kedua, manakala Encik Saifullizan Yahya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP selaku moderator.

YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, Ahli Lembaga Pengelola DBP (tengah) sebagai panel pertama dan YBrs. Dr. Muhaimin Sulam, Ahli Lembaga Pengelola DBP (dari kanan), sebagai panel kedua, manakala Encik Saifullizan Yahya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP (dari kiri) sebagai pemudah cara dalam Sesi Sembang Santai bertajuk “Ganti Gajet dengan Buku”.

Dalam sesi tersebut, Dato Dr. Jeniri menekankan bahawa pembacaan buku fizikal bukan sahaja dapat mengasah kemahiran membaca, malah mampu meningkatkan keupayaan berfikir secara kritis dan mendalam. Beliau turut menyatakan bahawa pembacaan buku memainkan peranan penting dalam memperkukuh penguasaan bahasa dan mempertingkat kemahiran menulis.

Antara tetamu yang hadir dalam Sesi Sembang Santai.

Beliau juga menyeru agar masyarakat mengekalkan keseimbangan antara penggunaan teknologi dengan pembacaan buku fizikal.

“Pengguna perlu memahami bahawa gajet hanyalah alat bantuan dalam kehidupan seharian. Kita yang harus mengawal gajet, bukan sebaliknya gajet yang mengawal kita,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa pemikiran kritikal boleh terhakis sekiranya pengguna terlalu bergantung kepada kandungan digital semata-mata.

Sementara itu, YBrs. Dr. Muhaimin Sulam menyatakan bahawa gajet tidak akan pernah mampu menggantikan fungsi dan nilai sesebuah buku. Menurut beliau, walaupun teknologi memudahkan capaian maklumat secara visual dan interaktif, buku fizikal tetap menjadi medium ilmu yang paling berkesan dalam membina ketamadunan insan.

Beliau turut berkongsi bahawa karya agung Tenggelamnya Kapal van der Wijck karya HAMKA bukan sahaja menjadi pencetus kepada ilham penulisannya, malah turut banyak mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan. “Ini membuktikan betapa bernilainya sebuah buku dalam membentuk jiwa dan karakter seseorang,” katanya.

Tambah beliau lagi, buku ialah lambang ketamadunan manusia dan kewujudannya, khususnya dalam bentuk fizikal, akan terus kekal meskipun teknologi terus berkembang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; serta Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed bergambar bersama-sama ahli panel.

Sesi yang berlangsung penuh bermanfaat dan mendapat sambutan hangat ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun binti Mustafa; serta Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi