Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kunjungan Yang Amat Mulia (Y.A.M), Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj mencuri perhatian pengunjung apabila baginda meluangkan masa dengan mengunjungi reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Tun Hussein Onn (DTHO), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 petang semalam.
Yang Amat Mulia (Y.A.M), Tengku Sulaiman Shah Alhaj bersama-sama dengan rombongan baginda meluangkan masa selama hampir 30 minit meninjau pelbagai buku terbitan DBP, termasuklah buku Warisan Melayu Diraja, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah Politik Kerajaan.
Dalam kunjungan tersebut, baginda turut berkesempatan membeli beberapa buah buku yang menarik perhatian baginda seperti Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758, Yang Di- Pertuan Agong: Kedaulatan dan Pemerintahan Raja, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur, Pemerintahan Beraja di Alam Melayu Merentas Zaman, Raja dan Rakyat Berpisah Tiada, Sejarah dan Perkembangan Undang-undang Islam di Negeri Perlis serta Sejarah dan Politik Kerajaan Bugis dan Kamus Perdana.
Sementara itu, kehadiran baginda disantuni oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar serta Pegawai Tadbir Bahagian Pemasaran dan Pengedaran, Puan Fairuz Yaacob.

Kunjungan baginda ke reruai DBP jelas membuktikan kecintaan beliau terhadap usaha memartabatkan budaya ilmu dalam memperkukuh minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Reruai DBP pada tahun ini menampikan sebanyak 2,000 judul yang merangkumi pelbagai bidang, termasuklah karya penulis tempatan terkenal dan penulis antarabangsa.
Pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan sepanjang pembukaan reruai tersebut seperti sesi bual bicara penulis, pelancaran buku dan aktiviti roda kata yang menggamit perhatian pengunjung.