Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail berkenan melancarkan buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I – Siri III, bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada hari ini.
Keberangkatan baginda bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), YBhg. Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan barisan pengurusan tertinggi DBP.

Buku himpunan ucapan dan asas pemikiran yang mempunyai tiga siri ini telah dikumpulkan sejak YBhg. Dato’ A Aziz Deraman mula menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu dari tahun 1994 hingga tahun 1999.
Buku ini dibahagikan kepada empat tema utama, iaitu Wadah Bahasa Melayu Asas Pembinaan Tamadun; Wadah Sastera Cerminan Akal Budi; Wadah Budaya Teras Jati Diri serta Wadah Pengurusan Pentadbiran, Imej Terpelihara Organisasi Hebat.
Selain pernah menjadi Ketua Pengarah DBP hingga menamatkan khidmatnya pada tahun 2004, beliau juga merupakan penulis dan penggiat sastera yang turut aktif menghasilkan esei, puisi dan artikel.
Antara buku lain hasil penulisan YBhg. Dato’ A Aziz Deraman yang diterbitkan oleh DBP termasuklah Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Globalisasi dan Peradaban di Malaysia serta Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia.
Sebelum acara pelancaran, turut diadakan Bicara Buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I hingga Siri III yang menampilkan YBhg. Dato’ A Aziz Deraman dan YBhg. Prof. Dr. Hashim Ismail sebagai panel serta Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus bertindak selaku moderator.

Selain itu, dalam majlis yang sama turut diadakan majlis pelancaran buku Perlis Food Promotion terbitan Universiti Malaysia Perlis dan buku Gutsy Asian.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Johari Md. Hasan; SN Dato’ Rahman Shaari, karyawan DBP serta pengunjung yang hadir memeriahkan reruai DBP bersempena dengan PBAKL 2025.