Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 menjadi lokasi pilihan ibu bapa dan anak-anak untuk mendapatkan buku yang terbaik. Tahniah dan syabas diucapkan atas penganjuran PBAKL 2025 kepada semua pihak yang terlibat.”

Demikian menurut Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina binti Sidek semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 kali ke-42 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut beliau, perkara penting dalam konteks pesta buku ini ialah kehadiran para pengunjung yang mencecah 1.8 juta orang. Hal ini merupakan kejayaan yang sangat besar khususnya bagi pihak penganjur yang saban tahun sentiasa mahu memastikan soal keselesaan pengunjung dalam pesta buku ini.

Tambah beliau lagi,

Pesta buku pada kali ini temanya lebih menunjukkan komitmen Malaysia pada peringkat ASEAN bagi industri buku dan Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam pelaksanaannya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2025 kali ke-42, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Mohd Khair bin Ngadiron,

Dalam segmen dagangan hak cipta antarabangsa, bilangan pemegang hak cipta pada tahun lepas meningkat dengan kehadiran pelbagai negara di luar ASEAN dengan jumlah keahlian sebanyak 16 negara. Dengan kerja kuat, pada tahun 2025 ini kita mendapat kerjasama dengan 24 buah negara termasuk pemegang hak cipta dari Korea Selatan, Turkiye, Jepun, Australia, Kenya dan Mongolia.

Hasil kerjasama erat industri perbukuan Malaysia dengan industri perbukuan negara China, dalam masa dua minggu lagi kita akan dinobatkan sebagai Negara Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF). Di samping itu, pemberian baucar buku juga telah memberikan manfaat kepada seluruh warga pendidik dan khususnya anak-anak kita.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2025 kali ke-42, YBrs. Encik Mohd Khair bin Ngadiron ketika berucap pada pagi tadi.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir; Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amiruddin bin Shari; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL, Tuan Haji Mohd. Khair bin Ngadiron; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi